
PETALING JAYA: Kes kematian mengejut membabitkan orang kena tahan (OKT) dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, berpunca daripada kesan gantung.
Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Allaudeen Abdul Majid, berkata hasil postmortem itu dilakukan oleh Hospital Seberang Jaya 24 Mac lalu.
“Walaubagaimanapun JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
OKT berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(A) akta sama.
OKT tersebut didapati meninggal dalam tahanan pada 23 Mac, sehari selepas ditahan.