
M Visvanathan berkata, pegawai yang bertugas di lokap polis Bentong, Pahang, juga harus dipertanggungjawabkan kerana membiarkan Kevin tanpa pengawasan selepas dipukul oleh dua tahanan lain di dalam selnya, seperti yang terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketika prosiding inkues bulan lepas, koroner Sazlina Shafie berkata, nyawa Kevin mungkin dapat diselamatkan jika pihak polis mendapatkan rawatan perubatan untuknya selepas dia dipukul.
Visvanathan berkata, kedua-dua tahanan itu patut didakwa atas tuduhan membunuh atau menyebabkan kematian tanpa niat, manakala ‘tuduhan yang setimpal’ harus dikenakan terhadap pegawai-pegawai polis terbabit.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pihak polis mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai yang terlibat dalam kematian itu.
Katanya, rakaman CCTV semasa prosiding inkues yang disediakan oleh AGC menunjukkan dua tahanan mengikat tangan dan kaki Kevin menggunakan cebisan selimut. Mulutnya turut disumbat dengan kain dan dia dipukul oleh tahanan-tahanan terbabit.
Beliau mendakwa pegawai polis yang bertugas pada masa itu membekalkan selimut tersebut kepada tahanan malah menggalakkan mereka memukul Kevin.
“Kami mahu tahu apa tindakan kerajaan, polis dan AGC. Dalam kes ini, kita tahu dengan jelas apa yang berlaku. Kita ada rakaman CCTV.
“Kerajaan mesti dipertanggungjawabkan. Si mati dan keluarganya harus diberikan keadilan,” katanya dalam sidang media.
Bapa Kevin, A Ganaprakasam, mendakwa pihak polis memberitahunya bahawa anaknya meninggal dunia akibat kesukaran bernafas kerana Covid-19 dan memintanya agar tidak memanjangkan isu itu.
Beliau juga mendakwa polis menipu dengan mengatakan mayat Kevin sudah dihantar ke bilik mayat hospital, walhal ia masih berada di balai polis Bentong.
“Sudah lima tahun berlalu sejak (Kevin) meninggal dunia. Kami hanya mahukan keadilan,” katanya.