
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Alice Loke memutuskan, pihak defendan – pengarah maritim Selangor, seorang pegawai penyiasat APMM dan kerajaan Malaysia – gagal melaksanakan penjagaan yang munasabah bagi mencegah kematian M Thinagaran, 31.
“Jelas berlaku pelanggaran kewajipan apabila si mati dibiarkan bersama sehelai seluar tambahan dengan kehadiran gril di dalam lokap, dan di mana risiko bunuh diri bukanlah sesuatu yang tidak boleh dijangka dalam kalangan tahanan,” katanya dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Isnin,
Loke berkata, pemantauan yang mencukupi, sekiranya dilaksanakan, boleh mencegah insiden yang meragut nyawa tahanan itu.
“Pihak defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga untuk memastikan si mati tidak mengalami sebarang kemudaratan ketika dalam tahanan,” katanya.
Beliau membuat kesimpulan, kecuaian itu berpunca secara langsung daripada pelanggaran kewajipan defendan, bukan suatu tindakan campur tangan bebas.
Balu si mati, R Tenaswari, dan bapanya, K Madhavan, selaku pentadbir bersama ke atas estet Thinagaran, menyaman pihak defendan atas alasan kecuaian, pelanggaran kewajipan statutori dan misfeasans dalam jawatan awam.
Bagaimanapun, Loke hanya membenarkan tuntutan kecuaian setelah mendapati keterangan tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan-dakwaan lain.
Hakim menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM172,800 untuk kehilangan pendapatan; RM6,370 sebagai ganti rugi khas; RM5,000 untuk perbelanjaan pengebumian; dan RM10,000 untuk ganti rugi kesedihan. Kerajaan juga diperintahkan untuk membayar kos RM30,000 kepada pihak plaintif.
Menurut fakta kes, pada 9 Jan 2019, para pegawai APMM yang bertindak atas risikan memintas sebuah vesel yang mencurigakan di perairan Selangor.
Selain Thinagaran dan seorang lagi individu, R Inthiran, di atas vesel tersebut, pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa bungkusan yang kemudiannya disahkan mengandungi dadah.
Kedua-dua lelaki itu kemudian direman untuk tujuan siasatan dan ditahan di pejabat penguatkuasaan maritim di Klang.
Pada hari yang sama, Thinagaran dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan. Dia didiagnosis menghidap sakit kepala berkaitan tekanan dan telah dipreskripsikan ubat.
Thinagaran ditemukan meninggal dunia empat hari kemudian, dalam keadaan tergantung pada siling selnya dengan menggunakan sehelai seluar yang dibekalkan kepadanya ketika dalam tahanan. Rakaman litar tertutup (CCTV) telah merakam detik-detik penting yang membawa kepada kematiannya. Bedah siasat kemudiannya mengesahkan punca kematiannya adalah akibat penggantungan.
Peguam Manoharan Malayalam, P Subramaniam dan Sarathbala Balakrishnan tampil mewakili pihak plaintif, manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim dan Peguam Persekutuan Nuurzul Izzati Zulkipli pula mewakili pihak kerajaan.
Manoharan mengesahkan bahawa pihak kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap kedua-dua dapatan liabiliti dan kuantum. Sementara itu, pihak plaintif sedang meneruskan suatu rayuan balas bagi mendapatkan ganti rugi lebih tinggi, katanya.