Hakim besar Malaya baharu ikrar perkasa sistem penyampaian keadilan

Hakim besar Malaya baharu ikrar perkasa sistem penyampaian keadilan

Hashim Hamzah mahu alasan penghakiman bertulis disediakan segera, serta perbicaraan kes sivil dan jenayah dipercepat.

Hashim Hamzah
Pelantikan sebagai hakim besar Malaya hadir dengan tanggungjawab dan amanah yang berat, kata Hashim Hamzah.
PUTRAJAYA:
Hakim Besar Malaya baharu, Hashim Hamzah, yang akan menyelia 393 hakim mahkamah rendah dan Mahkamah Tinggi, berikrar untuk memperkasakan sistem penyampaian keadilan.

Beliau berkata, tugas segeranya adalah memastikan hakim bicara, khususnya di Mahkamah Tinggi, menyediakan alasan penghakiman bertulis bagi tujuan rayuan.

Beliau turut berjanji untuk menyegerakan perbicaraan kes sivil dan jenayah.

“Tugas seorang hakim bukan sekadar menyelesaikan kes, tetapi menulis alasan penghakiman tepat pada masanya sekiranya terdapat rayuan.

“Kegagalan berbuat demikian akan merencatkan proses rayuan, terutamanya di Mahkamah Rayuan,” katanya kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman.

Hakim besar Malaya ke-15 itu berkata, beliau dimaklumkan bahawa tarikh perbicaraan bagi kes sivil dan jenayah telah ditetapkan sehingga 2027 atau 2028, tempoh penantian yang terlalu lama bagi litigan dan orang kena tuduh (OKT).

“Kami akan mencari jalan dan ikhtiar untuk menyegerakan perbicaraan, terutamanya di Kuala Lumpur dan Shah Alam,” katanya, menyifatkan jumlah kes yang tinggi berpunca daripada masyarakat yang semakin cenderung mengambil tindakan undang-undang.

Hashim berkata, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh supaya lebih ramai pesuruhjaya kehakiman dilantik bagi menyelesaikan tunggakan kes.

Merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan semua pihak yang terlibat dalam pelantikannya, Hashim menyifatkan pelantikan itu hadir dengan tanggungjawab dan amanah yang berat.

“Bayangkan, 393 majistret serta hakim mahkamah sesyen dan Mahkamah Tinggi berada di bawah bidang kuasa hakim besar (Malaya). Agak sukar, namun tugas itu tetap perlu dilaksanakan,” katanya.

Hashim, 63, mengangkat sumpah jawatan di hadapan hakim kanan Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir.

Empat hakim Mahkamah Persekutuan yang baru dilantik – Che Ruzima Ghazali, Mohd Nazlan Ghazali, Azimah Omar dan Collin Lawrence Sequerah – turut mengangkat sumpah di hadapan Wan Farid.

Terdahulu hari ini, kelima-lima hakim tersebut menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Sultan Ibrahim.

Sementara itu, peguam kanan S Raam Kumar berkata, pengalaman luas Hashim dalam bidang perundangan dan pentadbiran akan menjadi aset.

“Saya yakin beliau akan mencari penyelesaian praktikal dalam pentadbiran keadilan, memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai majistret, hakim mahkamah sesyen dan hakim pengurus bagi semua mahkamah di Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.