
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Faizal berkata, akta itu akan menjadi garis panduan bagi pemegang taruh untuk memerangi gangguan seksual dan memastikan wujud mekanisme undang-undang bagi melindungi pihak terlibat.
“Pihak kementerian akan menyediakan draf akta ini selewat-lewatnya pada bulan Disember tahun ini,” katanya menjawab soalan Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu sejauh mana tindakan kementerian untuk melindungi atlet daripada gangguan seksual.
Terdahulu, Faizal dilaporkan berkata, beliau berharap untuk membentangkan akta itu sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Tahun lepas, atlet terjun negara Pandelela Rinong mendedahkan dia diganggu secara seksual oleh seorang bekas jurulatih dan terpaksa bertahan dengan lawak lucah oleh individu itu selama tujuh tahun.
Pandelela berkata, dia berkongsi pengalamannya untuk menggalakkan mangsa lain turut bersuara.
Pada masa itu, Faizal mempersoalkan tindakan atlet berkenaan membangkitkan dakwaan gangguan seksual sekarang kerana katanya, kejadian itu “sudah lama berlaku”.
Dalam jawapannya kepada Rohani, Faizal berkata, kementeriannya turut mewujudkan Unit Aduan Sukan Selamat yang dianggotai oleh wakil NGO untuk menguruskan aduan gangguan seksual dengan serta-merta dan mengadakan program advokasi serta libat urus bersama atlet dan penggiat sukan.
Katanya, Akta Pembangunan Sukan 1997 telah dipinda bagi memasukkan “elemen sukan selamat” dalam perlembagaan semua badan sukan agar gangguan seksual dapat ditangani dengan berkesan.
“Pindaan ini dijangka berkuat kuasa selewatnya pada Julai tahun ini,” katanya.
Faizal berkata, Majlis Sukan Negara akan menjalankan pemeriksaan mengejut semasa sesi latihan bagi memastikan prosedur dipatuhi, manakala kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan ditempatkan di fasiliti latihan.