War Zone Championship tak dapat kelulusan KBS

War Zone Championship tak dapat kelulusan KBS

Kementerian berkata sebarang penganjuran acara sukan yang melibatkan penyertaan antarabangsa, perlu mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

The War Zone championship
Tangkap layar video tular sidang media War Zone Championship yang memaparkan dua kanak-kanak dipercayai peserta kejohanan itu bergaduh ketika sesi pengenalan.
KUALA LUMPUR:
Kejohanan sukan tempur, War Zone Championship yang dijadual berlangsung Disember ini tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang penganjuran acara sukan, khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Bagi mana-mana penganjuran acara sukan antarabangsa yang tidak memperoleh kelulusan PJS, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 36, akta itu.

“KBS menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan bagi menjamin integriti dan keselamatan sukan negara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular video sidang media War Zone Championship yang memaparkan dua kanak-kanak dipercayai peserta kejohanan itu bergaduh ketika sesi pengenalan.

Insiden berkenaan mengundang reaksi negatif pengguna media sosial yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran kejohanan berkenaan.

War Zone Championship yang menampilkan sukan tempur Muay Thai dan tinju itu dijadual berlangsung pada 6 hingga 7 Dis ini di N9 Arena di Negeri Sembilan.

Menurut laman sesawang War Zone Championship, acara itu menampilkan 54 peserta dari Malaysia dan Indonesia serta peserta jemputan dari India, China dan Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.