Pelanggan berasak demi rebut ikan 10 sen seekor

Pelanggan berasak demi rebut ikan 10 sen seekor

Polis berkata, keadaan terkawal selepas pihak pengurusan segera menamatkan tawaran harga murah itu.

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan pelanggan berasak-asak merebut ikan mabong berharga 10 sen seekor.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan rakaman video tular pelanggan berasak-asak di sebuah pasar raya besar disebabkan tawaran harga murah ikan mabong serendah 10 sen seekor.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian itu berlaku sempena pembukaan sebuah pasar raya besar di Tunjong, Kota Bharu.

“Semakan mendapati longgokan pelanggan berlaku disebabkan orang ramai berebut untuk mendapatkan ikan yang dijual dengan harga sangat murah itu.

“Kejadian berlaku sebaik selesai majlis perasmian pembukaan pasar raya berkenaan dan ia berlangsung lebih kurang 10 minit, sebelum tindakan pantas diambil pihak pengurusan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan terkawal selepas pihak pengurusan segera menamatkan tawaran harga murah itu.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak menularkan isu terbabit dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard semasa berada di tempat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.