Himpunan solidariti Najib: Sanusi kata ‘rugi tak sauk ikan lalu’

Himpunan solidariti Najib: Sanusi kata ‘rugi tak sauk ikan lalu’

Ketua pengarah pilihan raya PN berkata arena politik mengenai peluang terhidang.

Sanusi Nor akan hadir himpunan di Istana Kehakiman esok bagi mengetahui sama ada titah adendum Najib Razak wujud atau sebaliknya.
PETALING JAYA:
Sanusi Nor menggambarkan isu adendum Najib Razak adalah peluang terhidang seperti “menangkap ikan sudah di depan mata”.

Namun, ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), berkata arena politik adalah mengenai peluang seperti itu.

“Kalau ikan lalu kita tak sauk rugilah, cuma nak sauk itu ada alat atau tiada. Jangan sampai kita bom ikan itu, sauk elok-elok.

“Saya rasa dalam dunia terbuka ini tiada apa yang boleh disembunyikan, proses itu berlaku secara betul atau tak betul,” katanya menurut Harian Metro, merujuk isu kewujudan adendum dikatakan berkait tahanan rumah kepada Najib.

“Sekarang orang nak tengok proses itu lah, nak berselindung atau tak berselindung. Jadi yang dibawa ke mahkamah esok, orang nak tengok perkara itu siapa yang berkata benar, siapa yang tidak bercakap benar.”

Hari ini, Barisan Nasional (BN) menempelak golongan ‘oportunis’ yang cuba mengambil manfaat atas usaha bekas perdana menteri untuk menghabiskan baki tempoh penjaranya sebagai tahanan rumah.

Gabungan itu menyifatkan langkah pihak tertentu mengeksploit ‘kesengsaraan’ bekas presiden Umno itu, yang pernah mereka ‘hina dan fitnah’, sebagai tidak bermoral.

Kata BN, mereka mahu menggunakan peluang untuk membina momentum bagi mencapai matlamat politik.

Sanusi berkata, beliau akan hadir himpunan di Istana Kehakiman, Putrajaya esok kerana tiada titah Yang di-Pertuan Agong melarang perhimpunan itu.

“Siapa nak pi (pergi) silakan, tak mau pi sudah,” katanya sambil menyatakan kehadiran bagi mengetahui sama ada wujud atau sebaliknya titah adendum seperti didakwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.