
Zus Coffee dalam satu kenyataan berkata laporan polis itu dibuat Isnin lalu untuk memastikan keselamatan dan melindungi privasi pekerjanya itu.
“Pekerja tersebut kekal bersama kami dan kini mengambil cuti bergaji untuk pulih dari insiden tersebut. Kesejahteraannya kekal menjadi keutamaan kami.
“Di Zus kami tidak bertolak ansur dengan tingkah laku agresif dan kami komited untuk memastikan premis kami kekal selamat untuk komuniti,” kata kenyataan itu.
Syarikat itu juga meminta pengguna media sosial untuk memadam video berkenaan yang mendedahkan identiti pekerjanya kerana penyebaran berterusan boleh memberi kesan berpanjangan kepada mangsa.
“Kami mengambil peluang ini bagi memperkukuh latihan dan sistem sokongan kami dalam usaha membina budaya kerja yang mampu menangani cabaran dengan profesionalisme dan empati,” katanya.
Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan seorang wanita dipercayai pelancong asing memarahi pekerja di sebuah cawangan kedai kopi berkenaan.
Wanita itu juga dilihat melempar secawan kopi kepada pekerja tersebut.