Fama nafi abai rungutan harga sayur, buah naik mendadak

Fama nafi abai rungutan harga sayur, buah naik mendadak

Fama sedang bekerjasama rapat dengan semua pemain industri untuk memantau dan menstabilkan harga di pelbagai peringkat rantaian bekalan.

wet market
Menurut Fama, peningkatan harga sayur berlaku disebabkan taburan hujan tinggi dan faktor sumber cahaya matahari bagi keperluan tanaman.
PETALING JAYA:
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menafikan pihaknya mengabaikan rungutan pengguna berkait kenaikan mendadak harga sayur dan buah, merujuk laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam.

Fama dalam kenyataan kepada FMT menjelaskan, agensi itu sedang bekerjasama rapat dengan semua pemain industri terlibat untuk memantau dan menstabilkan harga di pelbagai peringkat rantaian bekalan.

“Dari segi ketersediaan bekalan, peningkatan harga yang berlaku ketika ini adalah disebabkan kesan perubahan iklim dengan taburan hujan yang tinggi dan faktor sumber cahaya matahari bagi keperluan tanaman.

“Namun, Fama telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan bekalan sayur dan buah mencukupi di outlet peruncitannya di seluruh negara.

“Usaha ini diharap dapat menampung permintaan pengguna, terutama menjelang musim perayaan dan cuti persekolahan pada hujung tahun ini,” kata Fama.

Mengulas mengenai gesaan CAP supaya eksport ikan dan sayur dihentikan ketika musim tengkujuh, Fama menjelaskan perkara itu di luar bidang kuasanya.

“Fama tidak mempunyai kuasa untuk mengehadkan eksport hasil pertanian. Tindakan demikian berada di bawah bidang kuasa agensi lain yang berkaitan.

“Bagaimanapun, Fama sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk memastikan keutamaan diberikan kepada kestabilan bekalan tempatan sebelum hasil pertanian dieksport.”

Tegasnya, semua pihak perlu memahami bahawa pasaran hasil pertanian dipengaruhi oleh faktor dinamik termasuk kos input pertanian, kadar tukaran mata wang, faktor iklim dan permintaan global.

“Fama akan terus komited dalam memainkan peranannya untuk menyokong petani, melindungi kepentingan pengguna, dan memastikan pasaran hasil pertanian kekal berdaya saing dan mampan,” kata agensi itu.

Semalam, CAP mempersoalkan peranan Fama yang didakwa gagal mengawal kenaikan mendadak harga sayur-sayuran dan buah-buahan dalam tempoh dua minggu.

Presiden Mohideen Abdul Kader berkata pihaknya telah menyuarakan kebimbangan itu namun telah diabaikan oleh agensi bertanggungjawab dalam pengedaran dan pemasaran produk pertanian.

CAP mendakwa harga bendi naik daripada RM7 kepada RM12.50, kacang panjang (RM8 ke RM20) dan sawi (RM6 ke RM12) dan cili merah (RM8 kepada RM18) dalam tempoh dua minggu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.