Pemilik bengkel parah ditikam pelanggan

Pemilik bengkel parah ditikam pelanggan

Suspek menyerang mangsa dengan senjata tajam sebelum melarikan diri menaiki Perodua Alza.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata mangsa parah akibat tikaman pada leher dan dada. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pemilik bengkel kereta parah di leher dan dada selepas ditikam pelanggannya dalam kejadian di premis berkenaan di Subang, semalam.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira 5.20 petang dan sebelum itu, lelaki berusia 54 tahun berkenaan membaiki kereta milik suspek lelaki berusia 40 tahun yang mengalami masalah brek.

“Setelah kerosakan dibaiki, suspek telah membuat pembayaran dan beredar dari bengkel itu, bagaimanapun dua jam kemudian suspek datang semula ke bengkel terbabit dan berlaku pertengkaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semasa pertengkaran suspek menyerang mangsa dengan senjata tajam pada leher dan dada sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Alza.

“Mangsa yang mengalami pendarahan berjalan sejauh 200m ke sebuah klinik swasta sebelum pengsan di bahagian pejalan kaki klinik berkenaan. Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Wan Azlan berkata, motif kejadian masih dalam siasatan manakala suspek dikenal pasti dan sedang dikesan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.