
Dalam kejadian melibatkan mangsa pertama, tertuduh mengaku salah merogol wanita Malaysia berusia 27 tahun itu berulang kali selepas pengsan akibat mabuk ketika mereka melepak di tingkat bawah blok apartmennya, menurut laporan The Straits Times.
Tertuduh berusia 24 tahun, yang namanya dirahsiakan bagi melindungi identiti mangsa, kemudian mengambil gambar wanita itu yang dihantar kepada rakannya dengan mendakwa telah “melakukannya” tiga kali.
Mangsa mengalami trauma teruk akibat kejadian itu sehingga terpaksa menerima rawatan selama tiga bulan di Institut Kesihatan Mental.
Sementara itu, bagi kes melibatkan mangsa kedua, tertuduh mengaku mencabul wanita tempatan berusia 39 tahun dengan mengambil videonya ketika mandi.
Video itu dirakam tanpa pengetahuan mangsa ketika tertuduh menginap di rumah wanita itu.
Sementara itu, mahkamah turut mengambil kira 20 lagi tuduhan terhadapnya melibatkan kesalahan seksual terhadap dua wanita terbabit, dalam menjatuhi hukuman terhadapnya.
Mahkamah Tinggi dimaklumkan, tertuduh dan mangsa pertama berkenalan di tempat kerja.
Pada 21 Jun 2020, mereka melepak di tingkat bawah blok apartmen tertuduh sambil minum. Apabila mangsa pengsan, tertuduh merakam enam video menggunakan telefon bimbit sebelum mendukungnya ke unit kediamannya, merogolnya, dan mengambil gambar mangsa yang dihantar kepada rakannya.
Wanita itu terkejut apabila sedarkan diri dan melihat mangsa tanpa seurat benang di sebelahnya. Apabila diminta penjelasan, tertuduh menunjukkan video dan gambar yang dirakam.
Mangsa pada mulanya tidak membuat laporan polis kerana takut, namun pada 21 Julai telah menceritakan kejadian kepada seorang rakan yang menghubungi polis. Tertuduh ditahan pada hari sama.
Sementara itu, bagi kes kedua, polis menemui 18 video dan sembilan gambar mangsa dalam telefon bimbit tertuduh yang diambil antara 27 Nov 2018 hingga 18 Dis 2019.
Tertuduh mengaku merakamnya dari bawah pintu tandas, malah turut dihantar kepada rakan sama.