
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan yang mengesahkan tangkapan itu berkata, lelaki terbabit dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ kepada sindiket dadah di Malaysia dan Thailand.
Menurutnya, polis Malaysia dimaklumkan mengenai tangkapan pada 6 Nov lalu di wilayah Chumphon oleh Subdivisyen 3 Biro Pembanterasan Narkotik Polis Thailand (PNSB) melalui saluran rasmi pegawai perhubungan JSJN.
“Suspek berusia 25 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah dan semakan mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya menurut Berita Harian.
Media Thailand, Siam Focus Time melaporkan suspek ditahan dalam operasi PNSB bersama Polis Wilayah Chumphon di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon di selatan Thailand.
Suspek memandu kereta Nissan hitam bernombor pendaftaran Malaysia dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mesin X-ray menemui ruang rahsia di bahagian belakang yang disorok bungkusan plastik vakum berisi 75kg ketamin dianggarkan lebih 70 juta baht (kir-kira RM9 juta).
Suspek mengaku diupah individu tidak dikenali untuk memandu kereta itu dari Bangkok ke Malaysia dengan bayaran RM5,000, tetapi mendakwa tidak tahu mengenai bahan terlarang berkenaan.