Perang Rusia-Ukraine bukan alasan naik harga barang, kata menteri

Perang Rusia-Ukraine bukan alasan naik harga barang, kata menteri

Kesan perang kedua-dua negara itu belum dirasai di negara ini bagi peniaga menggunakan alasan berkenaan untuk menaikkan harga barang.

Perang atau tiada perang, jika sengaja menaikkan harga barang, kami akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.
PETALING JAYA:
Perang antara negara pengeluar minyak, Rusia dan Ukraine, tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang di negara ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Katanya, ini kerana mungkin ada peniaga mendakwa harga minyak naik ekoran peperangan itu.

Justeru, beliau memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjadikan peperangan itu sebagai alasan untuk menaikkan harga barang sesuka hati.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan rapi untuk mengesan perbuatan tidak beretika itu.

“Saya memberi amaran keras kepada peniaga, perangkah atau tiada perang, jika sengaja menaikkan harga barang, kami akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Nanta mengakui, peperangan membabitkan negara pengeluar minyak mentah akan mempengaruhi harga barangan kerana semua urusan perniagaan memerlukan bahan api.

“Ya… memang semua aktiviti perniagaan seperti pengeluaran, pengedaran, pemasaran bergantung kepada minyak.

“Memang akan berlaku gangguan berhubung harga minyak itu tetapi kita tidak mahu, jika kesan daripada peperangan itu belum ada di negara kita (tiada kenaikan harga minyak), tetapi harga barang pula tiba-tiba naik,” katanya.

Sehubungan itu katanya, KPDNHEP akan memantau rapi perkara itu bagi mengelak pengguna dibebani perbuatan peniaga yang tidak beretika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.