Sukar kesan pemilik Twitter Edisi Siasat, kata pakar

Sukar kesan pemilik Twitter Edisi Siasat, kata pakar

Pakar berkata hanya Twitter yang boleh melakukan sekatan terhadap akaun itu.

Edisi Siasat, yang kini dikenali sebagai Edisi Khas membuat pendedahan membabitkan pegawai tertinggi kerajaan, termasuk dalam pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
PETALING JAYA:
Sukar bagi pihak berkuasa mengesan siapakah di sebalik Edisi Siasat, iaitu akaun Twitter yang menyiarkan pendedahan mengenai rasuah dan salah guna kuasa, kata seorang pakar keselamatan.

Pakar keselamatan siber Siraj Jalil berkata, mereka di sebalik Edisi Siasat sama ada berada di luar negara atau di Malaysia dan menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk menyembunyikan lokasi.

VPN membenarkan pengguna menyembunyikan alamat Protokol Internet (IP) bagi menghalang sesiapa daripada menjejaki lokasi mereka.

Akaun Twitter yang menukar namanya kepada Edisi Khas baru-baru ini, menimbulkan kekecohan susulan beberapa hantarannya membabitkan pegawai tertinggi kerajaan, termasuk dalam pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada November tahun lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan pihaknya membuka 13 kertas siasatan terhadap Edisi Siasat.

Siraj Jalil.

Siraj berkata, pihak berkuasa tidak diberi pilihan untuk melakukan tapisan terhadap akaun itu kerana hanya Twitter yang boleh berbuat demikian.

Twitter, yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) diketahui mempunyai pendirian mempertahankan hak kebebasan bersuara dan bukan mudah untuk meminta syarikat gergasi media sosial itu sama ada mengeluarkan hantaran, akaun atau mendedahkan butiran pengendali akaun.

Beliau berkata, tidak mungkin Twitter akan melayan sebarang permintaan untuk memberikan alamat IP kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, jika kegagalan VPN berlaku, ia boleh mendedahkan alamat IP sebenar pengendali Edisi Siasat.

Sumber polis yang enggan namanya disiarkan, menyuarakan kebimbangan bahawa kaedah Edisi Siasat menerbitkan hantaran yang dipanggil pendedahan oleh mereka boleh mendorong orang lain menyerang pihak atau individu tertentu di sebalik kerahsiaan internet.

“Hari ini, apabila sesuatu yang kelihatan sensasi dikongsi di media sosial, tidak lama selepas itu ia akan menjadi tular. Ini berbahaya,” kata sumber itu kepada FMT, selain menambah bahawa ia boleh “mengganggu ketenteraman awam”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.