SPRM beri amaran ‘jenayah korporat’ ancaman baharu

SPRM beri amaran ‘jenayah korporat’ ancaman baharu

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata sindiket menggunakan struktur korporat sah untuk lindungi aktiviti haram dan elak dikesan.

Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kumpulan itu beroperasi secara tersusun dan terselindung dengan memanfaatkan rangkaian profesional termasuk akauntan, peguam dan perunding.
PUTRAJAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memberi amaran mengenai kemunculan apa disifatkannya sebagai ‘jenayah korporat’ iaitu ekosistem jenayah terancang yang semakin kompleks dan sukar dikesan.

Beliau berkata, fenomena itu bukan lagi melibatkan jenayah konvensional, sebaliknya digerakkan melalui struktur korporat yang sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Apa yang kita hadapi hari ini bukan lagi jenayah biasa, tetapi satu ekosistem jenayah terancang yang digerakkan oleh apa yang saya istilahkan sebagai jenayah korporat,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian sesi libat urus Pasukan Petugas Khas Agensi-agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di ibu pejabat SPRM.

Azam berkata, kumpulan tersebut beroperasi secara tersusun dan terselindung, dengan memanfaatkan rangkaian profesional termasuk akauntan, peguam dan perunding, selain mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ agensi tertentu.

Katanya, peranan rangkaian itu bukan sahaja melindungi aktiviti haram, malah membantu memanipulasi struktur korporat bagi tujuan pengubahan wang haram serta mengaburi penguatkuasaan.

“Mereka memanipulasi sistem untuk memastikan aktiviti jenayah terus berlaku tanpa dikesan,” katanya.

Sementara itu, Azam ketika ditemui media selepas program berkenaan enggan mengulas lanjut ketika diminta mengulas dakwaan penglibatan pegawai SPRM dalam ‘mafia korporat’.

Beliau menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan dan memaklumkan pihak berkuasa itu menyatakan semalam tiada pegawai SPRM terlibat.

Semalam, polis mengesahkan tiada pegawai SPRM dipanggil bagi membantu siasatan mengenai dakwaan sindiket pengambilalihan paksa syarikat menerusi pakatan.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid, berkata setakat ini seramai 41 saksi dipanggil susulan dakwaan membabitkan ahli perniagaan Victor Chin.

Fazlisyam berkata, siasatan masih berjalan melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian.

Isnin lalu, Fazlisyam mengesahkan Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pengubahan wang haram menerusi Op Viking dari 15 Okt 2025 hingga 13 Jan lalu.

Chin ditahan pada Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, namun mungkin dipanggil semula bagi membantu siasatan.

Polis membekukan dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan, 1,100 unit saham milik dua syarikat, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan RM64,246,417 serta 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.

Kes disiasat mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.