Peguam Rosmah positif Covid-19, bicara kes rasuah projek solar tangguh

Peguam Rosmah positif Covid-19, bicara kes rasuah projek solar tangguh

Hakim Mohamed Zaini memaklumkan bahawa mahkamah juga telah menerima surat daripada firma guaman Jagjit menyatakan Akberdin dijangkiti Covid-19.

Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah Mansor membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan rasuah yang dihadapi Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas peguamnya, Akberdin Abdul Kader disahkan positif Covid-19.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram memaklumkan kepada hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa bukan Akberdin sahaja yang dijangkiti Covid-19, malah dua lagi anggota pasukan pembelaan, iaitu Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork merupakan kontak rapat Akberdin dan perlu dikuarantin.

Hakim Mohamed Zaini memaklumkan bahawa mahkamah juga telah menerima surat daripada firma guaman Jagjit menyatakan Akberdin dijangkiti Covid-19.

“Saya difahamkan beliau (Akberdin) telah didiagnosis pada 12 Feb. Malang mendengar perkhabaran itu. Saya doakan beliau sihat,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini dan perbicaraan akan disambung semula pada 23 Feb.

Hari ini sepatutnya ditetapkan sebagai hari terakhir perbicaraan pembelaan dengan bekas pegawai khas bekas Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Siti Azizah Sheikh Abod disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa permohonan telah difailkan untuk saksi utama dalam kes itu, iaitu bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Sistem Hibrid Solar Photovoltaic (PV) Bersepadu serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.