Mahkamah perintah Imigresen tangguh sementara hantar pulang bekas duta Bangladesh

Mahkamah perintah Imigresen tangguh sementara hantar pulang bekas duta Bangladesh

Perintah dikeluarkan susulan penahanan Mohamed Khairuzzaman di rumahnya di Ampang minggu lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan perintah itu semasa pengurusan kes permohonan habeas corpus Mohamed Khairuzzaman hari ini. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah penangguhan sementara terhadap Jabatan Imigresen daripada menghantar pulang seorang bekas duta Bangladesh.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan perintah itu semasa pengurusan kes permohonan habeas corpus Mohamed Khairuzzaman hari ini.

Khairuzzaman dikehendaki di Bangladesh atas sebab yang tidak didedahkan tetapi isterinya, Rieta Rahman berkata, penahanannya bermotifkan politik, dicetuskan oleh kerajaan Bangladesh dan suaminya “tidak dapat bertahan” jika dihantar pulang ke Dhaka.

Bekas duta berusia 65 tahun itu ditahan pihak berkuasa Imigresen di rumahnya di Ampang pada 10 Feb.

Pasukan undang-undang Khairuzzaman menegaskan, beliau adalah pencari suaka politik yang memiliki kad UNHCR dan tidak melakukan sebarang kesalahan imigresen, justeru penahanannya adalah menyalahi undang-undang.

“Saya tidak mahu dengar beliau dihantar pulang, ia bercanggah dengan perintah mahkamah yang saya benarkan ini,” kata Zaini ketika membenarkan permohonan Khairuzzaman untuk perintah penangguhan.

Terdahulu, peguam Khairuzzaman, Edmund Bon, membangkitkan isu pegawai imigresen menghantar pulang tahanan Myanmar tahun lepas, walaupun perintah mahkamah menghalang kerajaan berbuat demikian.

“Saya harap (Jabatan) Imigresen tidak membuat keputusan sendiri,” katanya.

Peguam persekutuan bagi Jabatan Imigresen Wong Siew Mun berkata, beliau akan memberi respons kepada Jabatan Peguam Negara mengenai penangguhan interim ini.

Mahkamah menetapkan 20 Mei untuk mendengar permohonan habeas corpus Khairuzzaman.

Isteri Khairuzzaman, Rieta Rahman berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah itu tetapi berharap untuk mengetahui di mana suaminya berada.

Beliau turut meminta doktor memeriksa keadaan kesihatan Khairuzzaman.

“Saya ingin tahu di mana suami saya berada dan jika boleh, dapat bercakap dengannya,” katanya kepada FMT.

Hari ini Khairuzzaman diwakili peguam Ngeow Chow Ying dan Yew Ding Wei.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam suratnya menggesa Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee tidak menghantar Khairuzzaman pulang.

“Hak ini tidak boleh dituntut bagi pendakwaan yang benar-benar timbul daripada kesalahan bukan politik atau daripada tindakan yang bertentangan dengan tujuan atau prinsip Bangsa-bangsa Bersatu,” kata Naib Pengerusi SUHAKAM Jerald Joseph.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.