Tawar khidmat undang-undang percuma kepada kanak-kanak, kata Jawatankuasa Parlimen

Tawar khidmat undang-undang percuma kepada kanak-kanak, kata Jawatankuasa Parlimen

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (PSCC) berkata ia bagi memastikan hak mereka dilindungi sepenuhnya.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (PSCC) berkata mengesyorkan semua kanak-kanak yang berdepan dengan masalah undang-undang diberikan khidmat perundangan secara percuma
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (PSCC) berkata semua kanak-kanak yang berdepan masalah perundangan mesti diberikan khidmat undang-undang secara percuma.

Ia menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu susulan berita seorang mangsa rogol berusia 15 tahun yang ditahan polis di Terengganu selepas bayinya yang baru saja dilahirkan, ditemui mati dengan kesan tikaman.

“PSCC bimbang yang dalam soal ini, tindakan pertama agensi berkaitan yang dilihat adalah menahan reman remaja itu ketika masih di wad neonatal untuk siasatan kes pembunuhan,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Jawatankuasa yang dianggotai sembilan orang Ahli Parlimen itu diketuai Ahli Parlimen Pengerang yang juga bekas Menteri Undang-Undang, Azalina Othman.

Katanya, remaja itu tidak diberi sebarang sokongan psikologi atau kebajikan sosial termasuk penilaian psikologi secara menyeluruh dan tidak diberi sebarang perwakilan undang-undang.

“Remaja itu terselamat daripada rogol berkanun dan kajian menunjukkan bahawa neonaticide yang diklasifikasikan sebagai infanticide (kes wanita yang membunuh bayinya dalam tempoh 24 jam selepas bersalin) biasanya disebabkan mengandung secara rahsia dan melahirkan anak tanpa bantuan perubatan,” katanya.

Kenyataan itu juga berkata, kes terbabit perlu diklasifikasikan di bawah Seksyen 309A (infanticide) dan bukannya Seksyen 302 (bunuh) dan tidak seperti kes bunuh, infanticide adalah kesalahan yang boleh dijamin di bawah Kanun Keseksaan.

Justeru, PSCC mengesyorkan semua kanak-kanak yang berdepan dengan masalah undang-undang diberikan khidmat perundangan secara percuma untuk memastikan hak mereka dilindungi sepenuhnya.

“Pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem keadilan jenayah, termasuk Majlis Peguam, Jabatan Peguam Negara (AGC), polis dan Pejabat Ketua Pendaftar, harus bekerjasama dalam memastikan usaha menyediakan khidmat perundangan secara percuma kepada semua kanak-kanak yang berdepan masalah perundangan ini tercapai,” katanya.

Ia juga menggesa kempen kesedaran dihidupkan semula oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mencegah daripada tindakan membuang bayi dan menawarkan sokongan serta bantuan kepada ibu muda terbabit.

Cadangan lain termasuk memperkenalkan pendidikan pengenalan seks menyeluruh, seksualiti dan reproduktif dalam kurikulum sekolah untuk melindungi kanak-kanak dengan lebih baik.

Terdahulu, seorang aktivis kanak-kanak memberitahu FMT bahawa ramai belia tidak tahu bahawa ia menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan jika mereka melakukan hubungan seks dengan remaja perempuan berusia 16 tahun ke bawah, walaupun secara sukarela.

Pengerusi Bersama Yayasan Inovasi dan Kebaikan Hak Kanak-Kanak (CRIB), Srividhya Ganapathy berkata sebahagiannya disebabkan oleh keengganan kerajaan memperkenalkan “pendidikan seks dan seksualiti yang menyeluruh” dalam kurikulum sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.