
Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Lee Swee Seng menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan terhadap Ooi Chang Ang daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memohon mahkamah menghantar semula kes tersebut ke Mahkamah Tinggi supaya Ooi membela diri atas pertuduhan membunuh.
Ooi pada awalnya dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya Lee berkata, tiada sebarang perancangan terlebih dahulu dan ia hanyalah pergaduhan mengejut yang menyebabkan mangsa Ong Ting San, 61, ditikam dengan pisau selepas pertengkaran berlaku apabila mangsa menjual durian tidak elok kepada tertuduh dan enggan menggantikannya.
Beliau berkata, mangsa yang enggan menggantikan buah durian itu apabila diminta tertuduh berbuat demikian, melemparkan semula durian itu kepada tertuduh.
“Dalam kemarahannya (tertuduh) dan berasa telah ditipu, pulang ke rumah untuk mengambil pisau dan kembali dan mengejar mangsa,” kata Lee yang bersidang bersama hakim Lee Heng Cheong dan Ahmad Nasfy Yasin.
Beliau berkata, kedua-duanya bersenjatakan pisau dan seorang daripada mereka boleh mengatasi yang lain.
Pada akhir kes pendakwaan, Pesuruhjaya Kehakiman Azmi Abdullah meminda pertuduhan membunuh yang dihadapi Ooi kepada pertuduhan lebih ringan, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Ooi mengaku bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian Ong di sebuah rumah di Taman Sri Kijang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 4.45 petang dan 5.30 petang 18 Ogos, 2016.
Dia dijatuhi hukuman penjara 14 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 19 Ogos, 2016.