
Menurut sumber, seorang daripadanya mempunyai kedudukan senior dalam Mahkamah Rayuan, manakala seorang lagi kurang berpengalaman, tetapi sangat dihormati.
Tetapi, sumber berkata, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang kini dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilihat cenderung mencalonkan hakim Mahkamah Persekutuan untuk jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman.
“JAC lebih cenderung mencalonkan seorang daripada lima hakim mahkamah tertinggi berdasarkan kriteria termaktub dalam Akta JAC,” kata sumber enggan dinamakan kepada FMT.
Namun, katanya, kemungkinan hakim Mahkamah Rayuan “melangkaui” hierarki tidak boleh diketepikan memandangkan perkara itu pernah berlaku ketika pelantikan ketua hakim negara serta hakim besar Sabah dan Sarawak (CJSS) dua bulan lalu.
Pada 28 Julai lalu, Wan Ahmad Farid dilantik mengetuai badan kehakiman walaupun beliau baru dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan November lalu.
Pada hari sama, Azizah Nawawi, hakim paling kanan di Mahkamah Rayuan dinamakan CJSS susulan persaraan Abdul Rahman Sebli tiga hari sebelumnya.
Pelantikan Azizah mengejutkan pelbagai pihak kerana ramai percaya Hakim Rhodzariah Bujang yang berkhidmat di Mahkamah Persekutuan sejak 2020 akan dilantik ke jawatan itu.
Sumber berkata, JAC sedang mempertimbangkan Rhodzariah dan empat rakan sejawatnya – Hakim Nordin Hassan, Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Terrirudin Salleh dan Lee Swee Seng – untuk jawatan CJM.
“Jika cadangan JAC diketepikan, maka ia disebabkan pertimbangan lain – sama seperti pelantikan mengejut Wan Farid dan Azizah. Tetapi, perlu ditegaskan Wan Farid mahupun Azizah tidak melobi untuk jawatan mereka,” kata sumber itu.
JAC akan bermesyuarat di Kuala Terengganu esok untuk menamakan calon pilihan mereka bagi jawatan CJM dan beberapa kekosongan yang bakal berlaku di Mahkamah Persekutuan.
Hakim Zabariah Yusof akan berundur bulan depan, manakala Hakim Hanipah Farikullah, seperti Hasnah akan bersara November ini. Tempoh lanjutan mereka bertiga akan tamat selepas mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.
Di bawah Seksyen 26 Akta JAC, ia hendaklah mengemukakan laporan kepada perdana menteri dengan mengenal pasti calon untuk mengisi sebarang kekosongan.
Seksyen 27 akta sama membenarkan perdana menteri meminta dua lagi nama sebagai calon tambahan jika beliau tidak bersetuju dengan pilihan pertama JAC.
Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan hakim dilakukan Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, JAC akan berpandukan kriteria perundangan dalam pemilihan calon mereka.
“Dalam menamakan calon untuk jawatan CJM, mereka akan melihat kekananan seseorang itu.”
Menurutnya, pelantikan di luar kebiasaan akan memberi “gambaran salah berhubung hala tuju badan kehakiman”.
Peguam Ramesh NP Chandran berkata, pelantikan Wan Ahmad Farid mungkin disebabkan keadaan luar biasa ketika itu, tetapi beliau menasihatkan ia tidak berulang.
“Mengetepikan hakim Mahkamah Persekutuan akan melemahkan semangat mereka.”
Beliau menggesa perdana menteri memberi pertimbangan serius kepada calon dicadangkan JAC.
“Lima daripada sembilan ahli JAC ialah hakim. Mereka berada di lapangan dan lebih layak mengenal pasti calon sesuai untuk jawatan CJM.”