Mahkamah Rayuan ketepi injunksi Shell MDS berhubung bayaran kepada Petronas

Mahkamah Rayuan ketepi injunksi Shell MDS berhubung bayaran kepada Petronas

Mahkamah memerintahkan Shell MDS membayar hutangnya menjelang 6 Okt.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Sidang hakim memerintahkan Shell MDS membayar jumlah tertunggak yang terhutang kepada Petronas, untuk tempoh dari Ogos 2024 sehingga 5 Okt tahun ini.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan mengetepikan injunksi interim yang diperoleh Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menghalangnya daripada membuat bayaran bulanan untuk gas yang diperoleh daripada Petronas, berikutan tuntutan invois bertindih daripada Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Menurut The Edge, mahkamah juga mengetepikan injunksi oleh Mahkamah Tinggi yang menghendaki Petronas terus membekalkan gas kepada Shell MDS sepanjang tempoh tersebut, serta menahan jaminan bank sepanjang tempoh perintah larangan itu.

Sidang diketuai Hakim Azimah Omar memerintahkan Shell MDS membayar jumlah tertunggak yang terhutang kepada Petronas menjelang 6 Okt, untuk tempoh dari Ogos 2024 sehingga 5 Okt tahun ini.

Petronas mendakwa Shell MDS berhutang antara RM70 juta dan RM80 juta sebulan sejak Ogos 2024, berikutan injunksi yang dikenakan Mahkamah Tinggi pada Januari tahun ini.

Jumlah terhutang, termasuk faedah, mungkin mencecah hampir RM1 bilion.

Hakim Wong Kian Kheong berkata Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi terkhilaf apabila memberikan injunksi tersebut kerana tiada pelanggaran perjanjian oleh Petronas, memandangkan syarikat minyak negara itu terus membekalkan gas kepada Shell MDS.

Wong berkata Petronas sentiasa bertindak mengikut perjanjian bekalan gas yang ditandatangani dengan Shell MDS, dan tiada sebab untuk memberikan relif interlokutori, sementara menunggu pertikaian antara Petronas dan Petros selesai.

Beliau berkata terdapat juga “risiko ketidakadilan yang lebih rendah” jika Petronas tidak dipaksa untuk terus membekalkan gas tanpa dibayar.

“Oleh itu, kami mengetepikan keputusan 6 Jun dan semua bayaran perlu dibayar kepada perayu (Petronas).

“Mahkamah juga memerintahkan penyelesaian awal saman interpleader (pertikaian antara Petronas dan Petros),” katanya.

Sidang tiga hakim, yang termasuk Ismail Brahim, juga memerintahkan Shell MDS untuk membayar kos RM50,000 kepada Petronas.

Petros pula diperintahkan untuk membayar RM30,000 kepada Petronas.

Awal tahun ini, Shell MDS diberikan injunksi yang membenarkan syarikat itu meneruskan operasi tanpa gangguan sehingga prosiding undang-undang antara Petronas dan Petros selesai.

Shell MDS memohon injunksi untuk menghentikan bayaran bulanan untuk bekalan gas sehingga pertikaian antara Petronas dan Petros selesai.

Injunksi itu juga mengarahkan Petronas untuk terus membekalkan gas kepada Shell MDS, yang juga memperoleh injunksi yang melarang Petronas daripada menggunakan jaminan banknya untuk bayaran gas.

Injunksi Mahkamah Tinggi diberikan selepas Shell MDS menerima invois yang bertindih sebanyak RM80 juta daripada Petronas dan Petros.

Petros menjadi pengagregat gas tunggal untuk Sarawak sejak tahun lepas.

Tahun lepas, Shell MDS juga memfailkan saman interpleader untuk menentukan sama ada Petronas atau Petros adalah pihak yang berhak menerima bayaran untuk bekalan gas di kemudahannya di Bintulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.