PRN Johor: BN tiada pilihan selain letak calon muda, kata penganalisis

PRN Johor: BN tiada pilihan selain letak calon muda, kata penganalisis

Akan menjadi sukar bagi Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengabaikan keperluan untuk calon baharu kerana lebih 750,000 belia kini layak mengundi.

James Chin (kiri) berkata, BN tidak boleh mengabaikan langkah meletakkan calon lebih muda, manakala Ahmad Fauzi Abdul Hamid percaya jenama BN-Umno akan bertahan kali ini.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) berisiko berdepan bidasan pengundi Johor jika gagal meletakkan calon yang muda dan segar pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata seorang penganalisis.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, langkah mencalonkan muka baharu adalah penting kerana wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi terhadap kelas politik semasa.

Katanya, sekurang-kurangnya 70% daripada calon mestilah individu baharu dan muda.

“Jika saya (Pengerusi BN) Ahmad Zahid Hamidi, saya akan letakkan 80% atau 90% muka baharu,” katanya kepada FMT.

Akan menjadi sukar bagi Zahid mengabaikan keperluan untuk calon baharu kerana lebih 750,000 belia kini layak mengundi.

“Beliau benar-benar tiada pilihan. Tekanannya adalah untuk mempunyai beberapa calon yang lebih muda secara keseluruhannya untuk menarik minat pengundi baharu,” kata Chin.

Mengenai peranan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam PRN tersebut, Chin berkata, ramai akan memantau peranannya dengan teliti untuk melihat sama ada bekas Presiden Umno itu akan mempunyai pengaruh sebesar di Melaka November lepas.

Awal minggu ini, Zahid berkata, BN tidak akan menggunakan “acuan” yang sama seperti PRN Melaka di Johor, termasuk formulanya memilih calon.

Katanya, 87% daripada calon BN di Melaka adalah baharu, 84% daripada mereka mempunyai kelayakan tinggi dan lebih 82% terdiri daripada mereka yang berusia bawah 50 tahun. Namun, landskap politiknya berbeza di Johor.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, perubahan strategi daripada apa yang dilakukan di Melaka mencerminkan keyakinan BN untuk membentuk kerajaan negeri sendiri selepas pilihan raya.

Katanya, Johor mempunyai lebih banyak kawasan luar bandar dan FELDA yang menjadi kubu kuat Umno sejak sekian lama, sambil menambah, masih sukar untuk mengetahui bagaimana pengundi muda akan memilih.

“Tidak mengira skandal seperti 1MDB, kebarangkalian bagi jenama BN-Umno untuk mengecewakan sangat rendah,” katanya kepada FMT.

“Alasan untuk mengadakan PRN nampaknya berakar pada keyakinan mereka untuk mendominasi pentadbiran negeri sepenuhnya, tanpa perlu berkongsi kuasa dengan Perikatan Nasional. Ini tanpa mengira peratusan keluar mengundi rendah atau tinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.