
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman berkata, sindiket terbabit menjadikan sebuah lori tiga tan sebagai stor dan kenderaan untuk menghantar bekalan dadah kepada pengedar lain.
Beliau berkata, mereka ditahan berusia antara 20 hingga 42 tahun dan dipercayai berperanan sebagai pembekal yang didalangi lelaki dari negara jiran.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah dengan menjadikan hotel dan rumah penginapan sebagai tempat tinggal mereka dan lori untuk menyimpan dadah.
“Hasil serbuan, polis merampas 141kg syabu, 0.7g heroin dan empat biji pil Eramin 5,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki dari negara jiran berkenaan adalah dalang sindiket itu.
“Sindiket ini dikesan bergiat aktif mengedarkan dadah sejak sebulan lalu. Siasatan lanjut terhadap suspek yang ditahan mendapati empat daripadanya memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Semua tangkapan direman empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.