
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata pihaknya juga meminta seluruh Banjaran Titiwangsa merangkumi Central Forest Spine (CFS) digazetkan sebagai Taman Negara bawah kerajaan Persekutuan.
“Kalau kita tidak gazetkan Banjaran Titiwangsa, pembukaan dan pemusnahan hutan akan terjadi setiap hari seperti yang kita tengok hari ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum itu di pintu 3 Istana Negara.
Sabrina berkata, aktiviti pembalakan dalam negara memusnahkan hutan dan menyebabkan bencana alam.
“Banjir berlaku hampir tiap tahun dan dah jadi macam temasya. Kita tidak mahu perkara ini berterusan,” katanya.
Perkara lain terkandung dalam memorandum itu ialah semakan segera pematuhan prosedur operasi standard (SOP) agensi berkaitan perhutanan dan pindaan Akta Persekutuan dan Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Turut disentuh ialah pindaan SOP pembinaan bangunan, perumahan di cerun dan kawasan tadahan air.
Memorandum itu turut meminta Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kelulusan pembalakan, perlombongan dan kuari di dalam hutan simpan serta pembukaan skala besar tanah tinggi berstatus hutan kerajaan negeri.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata dalam tempoh dua minggu dilancarkan, memorandum berkenaan mendapat lebih 200,000 sokongan rakyat yang mengundi secara dalam talian.
“Sebab itu kenapa penting untuk kita menyerahkan memorandum ini kepada Seri Paduka Baginda kerana ini adalah harapan rakyat,” katanya.
Antara NGO lain hadir dalam penyerahan memorandum itu Greenpeace Malaysia dan Otai Reformasi 98.