Tangani masalah obesiti, KPM akan laksana pemeriksaan BMI murid 5 hingga 9 tahun

Tangani masalah obesiti, KPM akan laksana pemeriksaan BMI murid 5 hingga 9 tahun

Pemeriksaan itu akan dijalankan dua kali setahun bertujuan menangani masalah obesiti dari awal.

Kementerian Pendidikan akan mewajibkan murid di prasekolah, sekolah rendah dan menengah milik kerajaan dan tadika swasta, melaksanakan program pemeriksaan BMI. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan akan melaksanakan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI) terhadap murid sekolah berusia lima hingga sembilan tahun bagi menangani masalah obesiti di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Nor Zamani Abdol Hamid berkata, program BMI 5-9T menyasarkan untuk menangani isu obesiti dalam kalangan murid sekolah rendah seawal usia lima tahun.

“Program itu juga akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid tentang kepentingan mempunyai komposisi badan ideal dan melakukan aktiviti senaman termasuk mengamalkan pemakanan sihat bagi kesihatan diri,” katanya dalam pekeliling dilihat FMT.

Nor Zamani berkata, program itu dimulakan menerusi ujian mengukur ketinggian dan berat murid bagi mendapatkan nilai BMI, disusuli pelaksanaan aktiviti fizikal dan amalan pemakanan sihat.

“Pelaksanaan BMI 5-9T akan bermula pada hari pertama kalendar akademik 2022/2023 dan dilakukan dua kali setahun,” katanya.

KPM mewajibkan program itu dijalankan bermula di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah milik kerajaan dan tadika swasta.

“Murid berkeperluan khas, kecuali yang memerlukan sokongan maksimum, juga diwajibkan menjalani ujian BMI 5-9T,” kata pekeliling itu lagi.

Pihak kementerian akan merujuk kepada buku panduan piawaian bagi pengukuran BMI seperti dikeluarkan Bahagian Pembangunan Kurikulum tahun lalu kata Nor Zamani, selain menambah bahawa program terbabit akan dijalankan ketika aktiviti luar dan pembelajaran integrasi dan ketika kelas pendidikan jasmani.

“Ujian pertama akan dilaksanakan pada bulan ketiga sesi persekolahan berdasarkan kalendar akademik dan ujian kedua akan dilaksanakan selepas lima bulan kemudian.”

Susulan sambutan Hari Obesiti Sedunia yang disambut 4 Mac tahun lalu, satu laporan dikeluarkan dalam laman web Universiti Malaya, melaporkan Malaysia mempunyai kadar prevalen tertinggi obesiti dalam kalangan dewasa di Asia Tenggara.

Merujuk kepada Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2019, laporan itu menyatakan 50.1% populasi dewasa dilaporkan mempunyai lebih berat badan (30.4%) atau obes (19.7%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.