Pulau Batu Putih: Putrajaya mohon prosiding secara tertutup

Pulau Batu Putih: Putrajaya mohon prosiding secara tertutup

Kerajaan turut memohon dokumen dihadkan untuk pihak-pihak yang terbabit dalam kes saman difailkan seorang individu terhadap kerajaan berkaitan keputusan kes Pulau Batu Puteh.

Seorang Peguam Kanan Persekutuan berkata, dokumen berkenaan diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana melibatkan isu sensitif, khususnya hubungan diplomatik Malaysia-Singapura. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Putrajaya memohon perintah perlindungan bagi dokumen rahsia berkaitan keputusannya menarik balik permohonan semakan melibatkan kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Permohonan itu antara lain adalah supaya dokumen berkenaan dihadkan untuk pihak-pihak yang terbabit dalam kes saman difailkan seorang individu terhadap kerajaan berkaitan keputusan kes Pulau Batu Puteh.

Pada masa sama, kerajaan juga meminta Mahkamah Tinggi mengadakan perbicaraan atau sebarang prosiding secara in camera (tertutup).

Dalam permohonan yang difailkan pada 29 Nov lalu ia berkata, semua dokumen yang akan diserahkan sebagai bahan kes juga tidak dibenarkan diakses umum. Sebaliknya, ia hanya boleh didedahkan kepada peguam, saksi dan pihak yang mahkamah rasa perlu diberi akses.

“Jika perlu, dokumen itu harus berada bawah jagaan hakim yang mengendalikan kes,” menurut dokumen yang dilihat oleh FMT.

Peguam Kanan Persekutuan Alfian Yang Amri, yang mengesahkan afidavit menyokong permohonan itu berkata, dokumen berkenaan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana melibatkan isu sensitif terutamanya hubungan diplomatik Malaysia dengan Singapura.

“Jika dokumen itu didedahkan kepada pihak ketiga yang tidak ada kebenaran, ia boleh menjejaskan sebarang rundingan antarabangsa antara kedua-dua negara,” katanya.

Alfian berkata, jika dibenarkan, perintah itu tidak akan memprejudis plaintif, Mohd Hatta Sanuri kerana dokumen berkaitan tetap akan dikemukakan di mahkamah.

“Pendedahan dokumen semasa prosiding akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan oleh plaintif,” tambahnya

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu pada 31 Jan depan.

Hatta, berasal dari Tanjung Karang, Selangor memohon deklarasi bahawa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam berhubung isu itu.

Dalam penyataan tuntutan pindaan yang difailkan pada Okt lalu, Hatta mahu kerajaan sekarang menyemak semula permohonan itu atau melihat pilihan lain termasuk kes didengar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pada tahun 2008, ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh atau turut dikenali sebagai Pedra Branca adalah milik Singapura.

Pada Februari 2017, Peguam Negara ketika itu Mohamed Apandi Ali di bawah pentadbiran Barisan Nasional diketuai Najib Razak, memfailkan permohonan semakan.

Bagaimanapun, selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018, Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai semula kerajaan, menarik balik permohonan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.