
Kementerian Dalam Negeri berkata, karya itu masing-masing oleh Tessa Bailey dan Nssignature dikenakan perintah larangan melalui warta kerajaan bertarikh 1 dan 3 Julai lalu.
Katanya, warta perintah larangan itu mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
“Sebagaimana peruntukan bawah Subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan yang disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Perintah Larangan ini juga merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku. Pada masa sama, masyarakat dilindungi dan turut memperoleh pendedahan serta kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya dalam kenyataan.
KDN mengingatkan, perintah itu hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak kerana kesalahan berkaitan hasil penerbitan larangan boleh dikenakan tindakan.
“Subseksyen 8(1) Akta 301, mana-mana orang yang tanpa sebab yang munasabah didapati memiliki apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM5,000.
“…atau Subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Menurut kenyataan, kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan dikenakan tindakan perintah larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN www.moha.gov.my atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia.