
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik itu berkata, satu perintah untuk memeriksa, menggeledah dan merampas di bawah Seksyen 31(1) Akta SPRM 2009 dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa itu kepada NationGate Solution.
“Setakat pengetahuan kami, serbuan tersebut tidak melibatkan mana-mana ahli lembaga pengarah atau pihak pengurusan kanan secara khusus,” katanya.
“NationGate Solution bukan anak syarikat teras menurut definisi yang diberikan dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.”
Buat masa ini, katanya, serbuan SPRM tidak memberi kesan kewangan dan operasi yang ketara ke atas kumpulan.
Sebelum ini, dilaporkan SPRM membuat serbuan terhadap premis NationGate Solution sebagai sebahagian siasatan yang sedang dijalankan berhubung dakwaan penyeludupan besi buruk.