KDN haram 3 buku mudarat moral masyarakat

KDN haram 3 buku mudarat moral masyarakat

Perintah larangan diwartakan Kementerian Dalam Negeri bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berkuat kuasa 21 dan 22 Jan lalu.

My Shadow Is Purple by Scott Stuart and All That’s Left In The World by Erik J. Brown
Tiga buku diharamkan ialah ‘My Shadow is Purple’, ‘Koleksi Puisi Masturbasi’ dan ‘All That’s Left In The World’.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengharamkan penerbitan tiga buku kerana dikhuatiri memudaratkan moral masyarakat.

Perintah larangan itu diwartakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa 21 dan 22 Jan lalu bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan bertentangan budaya serta nilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk.

Tiga buku itu ialah ‘My Shadow is Purple’ oleh Scott Stuart, ‘Koleksi Puisi Masturbasi’ oleh Amir Hamzah Akal Ali (Benz Ali) dan ‘All That’s Left In The World’ oleh Erik J Brown.

“Perintah larangan bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

“Pada masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” kata KDN dalam kenyataan.

KDN berkata, perintah larangan semua hasil penerbitan itu selaras peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301, yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan tiga hasil penerbitan tersebut dilarang secara mutlak.

Katanya, individu yang melanggar larangan itu boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.