
Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata, lawatannya ke lokasi terjejas banjir di kawasan Karak dan Bentong, Pahang menunjukkan dengan jelas sungai-sungai di kawasan itu tidak dapat menampung air banjir lalu menyebabkan kemusnahan yang tak terduga.
“Aspek aliran air yang menakutkan ialah jumlah serpihan yang banyak, pokok, semak dan sisa kayu yang tercabut dari kawasan pembalakan.
“Keadaan di Jambatan Sri Temelong jelas sekali menunjukkan pembalakan selama bertahun-tahun dan lain-lain bentuk penebangan hutan adalah punca utama banjir,” katanya.
Tambahnya, pokok yang ada di dalam hutan kini tidak dapat menyerap air yang membawa kepada runtuhan tebing sungai dan anak sungainya.
Ramasamy berkata, JPNP sudah tidak boleh lagi menafikan bahawa kegiatan pembalakan haram menjadi penyebab kejadian banjir berkenaan.
“Menurut JPNP, pemantauan atau pemeriksaan di Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong menunjukkan bahawa ia adalah sisa kayu di jalan dan jambatan.
“Tetapi saya melihat diri saya di Jambatan Sri Temelong, ia bukan hanya sisa kayu atau serpihan tetapi juga pokok-pokok tercabut dan sisa kayu dari pembalakan yang tertinggal atau terbiar,” katanya.
Beliau meminta kerajaan negeri Pahang supaya segera menangani isu banjir berkenaan dan mengarahkan JPNP untuk menyiasat syarikat-syarikat yang terlibat dengan perusahaan pembalakan besar-besaran di negeri berkenaan.