Pahang haram ahli majlis masuk tender PBT sendiri

Pahang haram ahli majlis masuk tender PBT sendiri

Kerajaan negeri terima syor SPRM yang dibincangkan dalam libat urus bertujuan menambah baik tatakelola.

SPRM LOGO
SPRM pada Ogos lalu memberi nasihat kepada kerajaan negeri susulan siasatan dakwaan salah guna kuasa oleh ahli majlis PBT di Pekan pada 2022.
PETALING JAYA:
Kerajaan Pahang setuju ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) diharamkan menyertai tender atau perolehan di agensi masing-masing, seperti disyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Berita Harian, langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dengan Tatacara Ahli Majlis PBT Negeri Pahang dipinda bagi memasukkan cadangan penambahbaikan tatakelola itu.

Perkara itu adalah hasil khidmat nasihat dicadangkan SPRM Pahang dalam sesi pembentangan khas melaksanakan cadangan penambahbaikan tatakelola bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, pada 7 Ogos lalu.

Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud, berkata langkah itu bertujuan memperkukuh integriti dan kecekapan dalam pengurusan pentadbiran negeri.

“Antara isu utama yang dibincangkan ketika itu adalah berkaitan amalan, sistem, dan tatacara kerja ahli majlis dalam proses pemilihan tender dan kontrak maka satu cadangan penambahbaikan dikemukakan bagi memperkukuh aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan itu.

“Cadangan khidmat nasihat ini dilaksanakan berikutan satu siasatan yang dijalankan oleh SPRM Pahang pada 2022 mengenai isu dikatakan berlaku salah guna kuasa oleh ahli majlis PBT di Pekan.

“Namun, selepas siasatan dilakukan mendapati tiada sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku. Tetapi, SPRM mendapati terdapat ruang penambahbaikan dalam sistem serta prosedur pengurusan perolehan atau tender dengan dilaksanakan penyiasatan tatakelola,” katanya dipetik.

Shukor berkata, komitmen diberikan kerajaan negeri dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan ini adalah suatu perkara amat positif dan membanggakan.

“Cadangan ini mampu membuat perubahan dalam menjaga tahap pengurusan tatakelola, selain menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah dalam kalangan ahli majlis PBT khususnya dalam soal perolehan tender.

“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan SPRM dan kerajaan negeri Pahang dalam memperkukuh tadbir urus serta membudayakan integriti dalam pentadbiran awam,” katanya.

Menerusi langkah itu, ahli majlis masih dibenarkan menyertai pelawaan tender ditawarkan di PBT lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.