Mabuk, cuba tembak polis, lelaki diberkas

Mabuk, cuba tembak polis, lelaki diberkas

Polis berkata suspek berusia 62 tahun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.

Polis berkata suspek berjaya diberkas dan selaras senapang patah digunakannya turut dirampas. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas yang berada bawah pengaruh alkohol cuba menembak polis menggunakan senapang patah di rumah panjang Nyawin, Dalat, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Dalat, Saga Chunggat, berkata dalam kejadian 2.10 petang semalam, suspek berusia 62 tahun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.

“Terdahulu, polis di Balai Polis Stapang menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki mengugut penduduk di sebuah kedai di Tamin.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan, namun, suspek sudah beredar,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, polis berjaya mengesan suspek di sebuah rumah panjang itu 20 minit kemudian.

“Setibanya di rumah Nyawin suspek duduk di tangga rumah panjang bersama selaras senapang patah disandangnya. Suspek seterusnya mencabar dua anggota polis dengan mengacu senapang patah ke arah mereka.

“Suspek mengisi peluru ke dalam senapang patah dan anggota polis terus mengambil langkah mengelak dengan berlindung di bawah rumah panjang,” katanya.

Beliau berkata, seorang anggota polis yang menaiki tangga berasingan menghampiri suspek dan pantas merampas senapang patah daripadanya.

“Semasa pergelutan, senapang patah dipegang suspek meletup tetapi tidak mengenai sesiapa.

“Suspek berjaya diberkas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat untuk siasatan lanjut, selaras senapang patah digunakannya turut dirampas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.