Sukar bebankan premis sepenuhnya atas tindakan pemandu mabuk, kata persatuan

Sukar bebankan premis sepenuhnya atas tindakan pemandu mabuk, kata persatuan

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia berkata tanggungjawab individu adalah prinsip asas dalam perundangan jalan raya.

breathalyser alat pengesan alkohol
Pemuda PKR dilaporkan mahu premis perniagaan menjual atau menghidangkan minuman beralkohol kepada pemandu mabuk dipertanggungjawabkan secara undang-undang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agak sukar bagi pemilik premis memikul beban undang-undang sepenuhnya atas tindakan pelanggan yang memandu dalam keadaan mabuk.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng, berkata walaupun terdapat konsep ‘dram shop laws’ di beberapa negara, lazimnya hanya terpakai jika premis terus menghidangkan alkohol kepada pelanggan yang jelas sudah terlalu mabuk.

“Tanggungjawab individu adalah prinsip asas dalam perundangan jalan raya. Secara prinsipnya, pemandu yang mempunyai lesen memandu adalah individu dewasa yang bertanggungjawab ke atas keputusan mereka sendiri di jalan raya,” katanya kepada FMT.

william ng
William Ng.

Beliau mengulas gesaan Pemuda PKR yang mahu premis perniagaan menjual atau menghidangkan minuman beralkohol kepada pemandu mabuk dipertanggungjawabkan secara undang-undang.

Semalam, Ketua Biro NGO dan Sukarelawan Pemuda PKR, Shafiq Iqram Abdullah, berkata pemandu mabuk perlu dilihat sebagai ancaman sistemik kepada keselamatan awam, bukan sekadar kesalahan individu semata-mata.

Shafiq turut mencadangkan pihak berkuasa tempatan memperkenalkan konsep ‘dram shop liability’, iaitu pengusaha premis boleh dikenakan tindakan jika menghidangkan alkohol secara berlebihan kepada pelanggan, sebagai klausa baharu dalam lesen perniagaan premis.

Mengulas lanjut, Ng berkata kakitangan premis tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menahan pelanggan, merampas kunci kenderaan atau menjalankan ujian pernafasan.

“Sekatan terhadap pergerakan pelanggan juga boleh mendedahkan premis kepada risiko keselamatan dan implikasi undang-undang lain seperti kurungan salah,” katanya.

Katanya, pendekatan lebih praktikal adalah menggalakkan premis bekerjasama dengan perkhidmatan e-panggilan atau menyediakan ruang menunggu bagi pelanggan yang tidak sesuai memandu.

Pada masa sama, beliau berkata sebarang pelaksanaan dasar tanpa garis panduan jelas berisiko memberi kesan kepada industri hiburan dan pelancongan negara.

Menurutnya, premis mungkin terpaksa menanggung kos tambahan seperti insurans liabiliti dan pengawal keselamatan, yang akhirnya meningkatkan harga kepada pengguna dan pelancong.

“Selain itu, kawal selia terlalu ketat boleh menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra perniagaan, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan risiko tindakan undang-undang akibat perbuatan pihak ketiga,” katanya.

Raymond Woo.

Sementara itu, Exco Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Raymond Woo, menyifatkan cadangan meletakkan tanggungjawab ke atas premis dalam kes pemandu mabuk sebagai tidak praktikal dan sukar dilaksanakan.

Beliau berkata, ada pelbagai sumber dan kemungkinan bagaimana pemandu boleh menjadi mabuk atau hilang keupayaan, termasuk jarak masa antara pembelian dan kejadian.

“Ketika membeli, individu itu mungkin masih waras. Jadi, sukar untuk premis mengawal atau meramal apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Katanya, jika logik itu digunakan, pelbagai aspek lain juga perlu dikawal seperti penjualan kenderaan atau pengisian minyak, yang jelas tidak munasabah.

Woo menegaskan tanggungjawab harus kekal pada pemandu yang menyebabkan kemalangan tanpa mengagihkannya kepada pihak lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.