
Kebanyakan yang berbaris awal terdiri daripada pengundi lebih berusia dan sebaik pagar dibuka, tiada lagi yang berbaris untuk masuk ke pusat mengundi.
Satu-satunya kekecohan kecil yang berlaku adalah ketika seorang pengundi ditahan ejen mengundi kerana membawa sekeping kertas mempunyai logo parti.
Seorang pengundi, Muhammad Nazrul Nizam, terus hadir ke pusat undi selepas tamat waktu bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Nazrul, 41, berkata dia ingin terus datang mengundi kerana menjadi tanggungjawabnya sebagai pengundi biarpun menempuh malam yang sukar di tempat kerja.
“Ia tidak bertanggungjawab untuk segelintir mereka yang memilih untuk tidak mengundi sesiapa. Suka atau tidak, kita mesti mengundi,” katanya yang merujuk mereka yang mungkin membuat keputusan untuk tidak mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ini.
“Secara jujurnya, semua ahli politik kebanyakannya sama tetapi hanya mempunyai sedikit perbezaan. Namun, kita tetap perlu mengundi,” kata pengundi Iban yang menyuarakan keyakinannya terhadap proses pengundian dan pelaksanaan SOP.

Seorang lagi pengundi, Chong Joon Soon, 66 berkata dia lebih suka sekiranya PRN itu diadakan kemudian kerana bimbang dengan penularan Covid-19.
“Namun, memandangkan ia diadakan sekarang, saya datang untuk mengundi. Ini adalah tanggungjawab kita untuk mengundi.
“Saya tidak takut hari ini, saya memakai dua lapis pelitup muka.”
Sementara itu, di pusat mengundi Kompleks Sukan Satok juga tiada kelibat pengundi yang berbaris sebaik pintu pagar dibuka.
Ramai pengundi sebelum itu nampak bersemangat biarpun dalam cuaca mendung dan hujan renyai.

Mohammad Bahrin Mokhtar yang berdiri paling hadapan dalam barisan berasa teruja untuk membuang undi, sambil berkata dia tiba 30 minit sebelum pintu pagar dibuka.
“Saya bangun pada jam 5 pagi dan ingin menjadi orang pertama tiba di sini,” katanya kepada FMT.