
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 426,170 pengundi dalam lingkungan usia 30-39, 406,950 (21-29) dan 313,102 (40-49), menjadikan jumlah keseluruhannya 1,146,222 orang.
Data SPR turut menunjukkan pengundi berumur 40 hingga 49 tahun berjumlah 313,102 orang, 224,128 (50-59), 171,682 (60-69), 126,979 (18-20), 75,620 (70-79), 24,873 (80-89) dan 15,339 (90 tahun ke atas).

Secara keseluruhan, seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi dalam PRN Sabah pada 29 Nov depan berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) sehingga Ogos lalu.
Bilcher Bala dan Syahruddin Awang Ahmad berpendapat jumlah kumpulan pengundi pertengahan terutama 30-39 tahun usia bukan sahaja kelompok terbesar, malah lebih berdisiplin membuat keputusan berdasarkan pertimbangan rasional berbanding sentimen politik semata-mata.
Bilcher dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata kelompok itu lazimnya stabil dalam penyertaan politik dan sering menjadi penentu keputusan banyak kerusi DUN dan Parlimen.
Menurutnya, mereka berada dalam fasa kehidupan yang memerlukan kestabilan dan kepastian jangka panjang, sesuatu yang perlu diberi tumpuan oleh parti yang ingin membentuk kerajaan selepas 29 Nov ini.
“Mereka berada pada tahap membina kerjaya, membesarkan keluarga dan mengurus kewangan isi rumah. Jadi fokus utama ialah jaminan ekonomi, pekerjaan yang stabil dan persekitaran politik yang tidak bergolak.
“Isu kos sara hidup meningkat, ketidakpastian ekonomi pasca pandemik dan akses kepada peluang pembangunan adalah perkara yang paling dekat dengan kehidupan seharian mereka,” katanya kepada FMT.
Justeru, katanya, naratif kempen bersifat retorik atau janji populis sukar menarik sokongan kelompok ini berbanding tawaran dasar yang jelas dan boleh diukur keberkesanannya.
“Pengundi mahu bukti, bukan slogan,” katanya sambil menekankan keperluan parti menampilkan calon berwibawa untuk merealisasikan dasar akan dilaksanakan kerajaan Sabah.
Syahruddin, penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) pula berkata pengundi pertengahan usia lebih tertekan dengan keadaan ekonomi kerana mereka menanggung kos isi rumah di samping membangunkan kerjaya.
“Bukan sekadar kestabilan politik, tetapi pendapatan boleh guna dan peluang pekerjaan yang mampan. Mereka mahukan kehidupan yang boleh dirancang,” katanya.
Beliau berkata parti di Sabah perlu melangkaui retorik berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mula mengemukakan dasar pembangunan ekonomi inklusif yang benar-benar mampu menjana pekerjaan bernilai tinggi.
“Isu pelaburan berkualiti, kawalan inflasi tempatan dan perumahan mampu milik sangat dekat dengan mereka.
“Manifesto pula perlu realistik, dengan keutamaan kepada kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.