DAP Sarawak yakin naratif semak dan imbang, kata penganalisis

DAP Sarawak yakin naratif semak dan imbang, kata penganalisis

Dick Lembang Dugun dari Unimas berkata ini berdasarkan perancangan parti itu untuk bertanding sehingga 18 kerusi dalam pilihan raya negeri.

Chong Chieng Jen Violet Yong
Hanya Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Violet Yong calon parti yang dilantik sebagai Adun dalam pilihan raya negeri terdahulu.
PETALING JAYA:
Cita-cita tinggi DAP Sarawak bertanding sehingga 18 kerusi pada PRN akan datang mungkin kerana yakin dapat menarik pengundi dengan naratif semak dan imbang, menurut penganalisis.

Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak berkata keadaan ini walaupun dalam keadaan parti itu sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi seteru utama DAP turut menjadi sebahagian anggota kerajaan di Putrajaya

Dick Lembang Dugun
Dick Lembang Dugun.

“Tidak seperti PKR, yang hala tujuannya di Sarawak masih tidak jelas, DAP meletakkkan dirinya dalam kedudukan untuk melaksanakan tanggungjawab berfungsi sebagai semakan dan imbangan,” katanya kepada FMT.

Sarawak hanya mempunyai dua wakil rakyat daripada 82 kerusi DUN iaitu ketua DAP negeri Chong Chieng Jen (Padungan) dan Violet Yong (Pending).

Chong baru-baru ini membayangkan parti berkenaan mungkin mencalonkan calon di 15 daripada 18 kerusi pada PRN akan datang.

Tempoh penggal kerajaan negeri pimpinan GPS bakal tamat pada 14 Feb 2027.

Dugun berkata GPS menikmati kepimpinan kukuh dan keyakinan umum di bawah Premier Sarawak Abang Johari Openg.

“Saya berbual dengan beberapa pemimpin Cina. Mereka mahukan kerajaan negeri stabil dan kemajuan berterusan.

“Mereka mahukan pembangkang yang berfungsi, untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, DAP mungkin cuba mendapatkan semula kerusi yang terlepas sebelum ini, termasuk Sarikei dan beberapa kawasan di Kuching.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara turut berkata DAP Sarawak meletakkan dirinya sebagai suara pembangkang yang lebih kukuh kerana tidak berkemungkinan menyertai kerajaan negeri memandangkan imej GPS sebagai parti yang sepenuhnya berasaskan Sarawak.

“Walaupun mempunyai cabang di Sarawak, DAP masih dilihat sebagai parti berasas di semenanjung, sama seperti PKR dan Amanah,” katanya dengan menambah GPS berkemungkinan tidak melihat keperluan untuk menjemput parti semenanjung dalam gabungannya.

DAP berkemungkinan pancing masyarakat Cina, Bidayuh dan Iban

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, DAP Sarawak dijangka menyasarkan kerusi campuran yang ramai pengundi Cina serta Bumiputera, khususnya dari kalangan Bidayuh serta Iban.

“Masyarakat Bidayuh lebih dekat dengan pusat bandar. Mereka terdedah kepada cabaran ekonomi seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahan. DAP berkemungkinan menggunakan isu-isu ini untuk memancing pengundi berkenaan,” katanya.

Pada 2021, DAP hanya menang di kerusi Padungan dan Pending dalam pilihan raya negeri berbanding tujuh yang dimenangi pada 2016.

Parti itu kalah di Kota Sentosa, Bukit Assek dan Tanjung Batu, selain gagal mempertahankan kerusi Pujut dan Pelawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.