
Kitingan berkata, hampir 300,000 rakyat Sabah yang tinggal, bekerja atau belajar di Semenanjung Malaysia berkemungkinan tidak akan pulang mengundi kerana tambang penerbangan pergi balik yang mahal.
Beliau berkata, tambang penerbangan pergi balik ke Sabah boleh mencecah antara RM700 dan RM1,000, manakala tambang promosi sehala RM299 oleh AirAsia untuk PRN hanya melibatkan 4,300 tiket.
“Kalau kita mahu pilihan raya yang adil, kita mesti benarkan rakyat Sabah di Semenanjung mengundi dengan mudah. Bukan susah pun,” katanya yang juga Ahli Parlimen Keningau ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Kitingan turut menegaskan, rakyat Semenanjung yang berada di Sabah dibenarkan mengundi melalui pos, namun rakyat Sabah di Semenanjung tidak diberi keistimewaan sama.
Sebelum ini, Bersih dan beberapa pertubuhan masyarakat sivil mencadangkan langkah sama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperluas kemudahan undi pos kepada rakyat Sabah yang berada di luar negeri.
Kumpulan itu berkata SPR mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kategori baharu pengundi yang layak mengundi melalui pos.
PRN Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.