Majlis Syura PAS bersidang 18 Dis, ‘bincang’ kerjasama MN dan PN

Majlis Syura PAS bersidang 18 Dis, ‘bincang’ kerjasama MN dan PN

Perbincangan merangkumi isu kerjasama PAS dengan sekutunya dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Mohd Khairuddin Aman Razali berkata mesyuarat dijangka diadakan 18 Dis ini untuk bincang hala tuju ‘taawun siyasi’ parti itu pasca PRN Melaka dan menuju PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Syura Ulama PAS akan bersidang pada 18 Dis ini bagi membincangkan cara memperkasakan gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15, kata Setiausahanya, Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Agenda utama ialah menetapkan misi PRU15 setelah mana PAS berkerajaan di peringkat persekutuan bersama dengan Umno dan Bersatu serta parti lain.

“Mesyuarat juga akan berbincang untuk memperkasakan lagi MN dan PN bagi menghadapi PRU15,” katanya kepada FMT.

Hubungan PAS dan Umno dalam MN menimbulkan pelbagai spekulasi selepas PAS memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang PN pada PRN Melaka lalu.

Selain itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membayangkan parti itu akan menolak MN, jika Umno terus menolak penyertaan Bersatu dalam gabungan itu yang ditubuhkan pada 2019.

Pada masa sama, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan Hadi bahawa parti itu tidak mematuhi piagam MN apabila enggan menerima Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin.

Khairuddin tidak memberikan butiran lanjut, namun kenyataannya membayangkan PAS masih mahu terus berada dalam MN meskipun tidak bersetuju dengan pendirian Umno berhubung penyertaan Bersatu.

Meskipun Hadi dilihat mengambil pendirian “keras” terhadap Umno, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti itu belum mengambil sebarang keputusan menolak MN.

“Saya rasa kita belum buat keputusan untuk tolak Umno pun, hubungan masih ada, tak ada apa-apa perubahan sampai hari ini,” Hashim dilaporkan berkata minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.