
Dalam penghakiman sepanjang 317 muka surat, hakim Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera berkata, dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang mereka “perlu melakukan apa yang perlu untuk memastikan wabak moden ini dihapuskan demi kebaikan negara”.
“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan mahkamah mengenakan undang-undang secara sama rata ke atas semua,” kata mereka.
Mereka turut memetik sebahagian penghakiman bekas Ketua Hakim Negara Sultan Azlan Shah dalam perbicaraan rasuah terhadap mantan Menteri Besar Selangor Harun Idris.
Sultan Azlan dalam penghakiman itu menyifatkan Harun sebagai “patriot dan pemimpin” di mata masyarakat, namun telah “membenarkan ketamakan merosakkannya” dalam kerjaya politiknya.
“45 tahun kemudian, kata-kata itu masih relevan kepada perayu (Najib) dan dari segi kedudukan kita sebagai sebuah negara,” kata mereka.
Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun banknya.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Bagaimanapun, Najib dilepaskan dengan jaminan sementara rayuannya selesai di Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, panel hakim turut mendapati hujah pembelaan bahawa wang berkenaan adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi tidak dapat bertahan kerana wang itu masuk dan dikeluarkan daripada akaunnya sekitar 2013, iaitu selepas wang RM42 juta dimasukkan daripada SRC International ke akaun bank perayu.
“Kisah yang mengalahkan Hikayat Seribu Satu Malam itu juga bukan sahaja tiada kredibiliti, malah bercanggah dengan bukti dokumen,” katanya.
Najib yang diwakili peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh dan Farhan Read, memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Pendakwaan diwakili Pendakwa ad hoc V Sithambaram bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Donald Joseph Franklin dan Sulaiman Kho.