Pembelaan ‘derma Arab Saudi’ hanya rekaan Najib, kata hakim

Pembelaan ‘derma Arab Saudi’ hanya rekaan Najib, kata hakim

Mahkamah Rayuan berkata, sekiranya wang itu derma dari keluarga diraja Arab Saudi, tiada sebab untuk ia dimasukkan ke akaun SRC.

Mahkamah Rayuan mendapati pembelaan kononnya wang itu diterima daripada kerajaan Arab Saudi tidak dapat dipertahankan atas alasan sama dicapai hakim perbicaraan.
PUTRAJAYA:
Dakwaan Najib Razak bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya adalah derma daripada Arab Saudi merupakan rekaan semata-mata, kata Mahkamah Rayuan.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil berkata, tiada bukti langsung bahawa wang berkenaan datang daripada keluarga diraja Arab Saudi, malah tiada asas munasabah untuk Najib mempercayai perkara itu.

“Dana itu datang daripada SRC dan itu memang telah disahkan,” kata Karim ketika mengekalkan sabitan pengubahan wang haram terhadap Najib oleh hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Satu daripada pembelaan yang dikemukakan oleh Najib ialah mendakwa dana RM42 juta itu sebahagian daripada derma berterusan daripada Arab Saudi yang dimasukkan ke akaunnya sejak 2011.

Karim berkata, Najib mendakwa beliau menganggap dana yang dimasukkan ke akaunnya adalah “derma Arab” dan bagi menyokong dakwaannya itu, beliau merujuk kepada surat-surat yang dikemukakan sebagai bahan bukti, yang dikatakan ditulis oleh Putera Saud Abdulaziz Al-Saud bagi pihak kerajaan Arab Saudi.

“Bagaimanapun, pembuat surat itu tidak pernah dipanggil, malah kesahihan surat itu juga tidak disahkan ketika perbicaraan. Jadi, isi kandungan surat Arab Saudi itu masih kekal sebagai dengar cakap dan tidak boleh diterima,” katanya.

Karim berkata, hakim perbicaraan mempertimbangkan pembelaan itu secara terperinci sebelum menolaknya.

Beliau menganggap hakikat bahawa Najib mempercayai dana di dalam akaunnya adalah sumbangan daripada Arab Saudi tidak boleh diterima, jika dibandingkan dengan keseluruhan bukti yang ada.

“Kami juga mendapati pembelaan derma daripada Arab Saudi ini tidak dapat bertahan atas alasan sama seperti hakim perbicaraan,” kata Karim yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Karim berkata, bukti jelas menunjukkan bahawa dana itu berasal daripada SRC dan berakhir dalam akaun peribadi Najib.

“Jika ia derma peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi kepada perayu, tiada sebab untuknya dideposit ke akaun SRC. SRC adalah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya.

Katanya, bukti menunjukkan bahawa dari 2014 hingga awal 2015, kira-kira RM136 juta telah digunakan oleh Najib, walaupun hanya mempercayai bahawa RM49 juta dimasukkan, mengikut dokumen yang dikatakan surat keempat daripadA Arab Saudi.

“Kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa keadaan berkaitan surat keempat itu jelas menunjukkan ia satu rekaan dan perayu tidak mungkin percaya RM49 juta itu adalah daripada keluarga diraja Arab Saudi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.