
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, beliau meragui kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa selepas melihat capaian internet di Sarawak sangat teruk.
“Saya nak tanya menteri, bagaimana boleh capai sasaran yang dijanjikan oleh menteri 92% pada tahun depan, kalau dalam kenyataannya kata akan belanja RM4 bilion, tetapi tahun depan hanya diperuntukkan RM700 juta sahaja.
“Sebab saya khuatir ini…janji untuk menjelang pilihan raya Sarawak satu janji dan masa depan akan jadi satu janji kosong sahaja,” katanya pada sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat.
Katanya, beliau berkata demikian berdasarkan pengalamannya di Sarawak minggu lalu.
“Pada hujung minggu lepas saya baru pergi Sarawak, perjalanan dua jam dari Kuching tiada liputan internet, malah talian telefon pun tak dapat. Bagaimana boleh capai 92%? Saya rasa hanya untuk memancing (undi) di Sarawak.
Katanya, beliau turut menyuarakan keraguan berhubung kenyataan Annuar itu berhubung liputan internet pada suku ketiga mencapai 83%.
Mengulas berkenaan prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khoo berkata, ceramah fizikal boleh dijalankan di kawasan tiada capaian internet di Sarawak membabitkan 64 daripada keseluruhan 82 DUN.
Katanya, ia sekali gus membuktikan banyak kawasan di negeri terbabit tidak mempunyai liputan internet.
“Sebab itu dibenarkan ceramah fizikal. Bagaimana 83% dapat internet? Boleh tunjuk kawasan mana dapat capaian internet?” soalnya.
Sementara itu, Annuar menafikan kenyataannya berkaitan capaian internet di Sarawak bertujuan ‘memancing undi’.
Beliau menasihatkan Khoo agar berhati-hati dalam membuat tuduhan di Dewan Rakyat.
“Pada pandangan saya sebagai Ahli Parlimen perlu teliti kalau nak buat sesuatu teguran.
“Ini memberi refleksi tak baik kepada kita sendiri, bawa petikan akhbar tanpa menyemak fakta jadikan satu hujahan adalah tersasar dalam data belanjawan,” katanya.
Annuar juga menjelaskan jumlah keseluruhan RM4 bilion disebut sebelum ini adalah berdasarkan jumlah keseluruhan menerusi tiga sumber.