Kekal saja jadi pembangkang, Akmal beritahu BN Sabah

Kekal saja jadi pembangkang, Akmal beritahu BN Sabah

Ketua Pemuda Umno berkata, BN harus 'terima kekalahan secara bermaruah dan perbaiki kelemahan'.

akmal saleh
Dr Akmal Saleh berkata, BN harus jadi pembangkang yang kuat bawa isu rakyat di Sabah dan sentiasa imbangi pentadbiran kerajaan negeri.
PETALING JAYA:
BN Sabah wajar kekal sahaja sebagai pembangkang negeri bersama Warisan dan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) Dr Akmal Saleh.

Akmal berkata, rakyat mahu BN kekal jadi pembangkang untuk melihat gabungan itu ‘berubah dengan lebih baik’.

“(Kita harus) jadi pembangkang yang kuat bawa isu rakyat dan sentiasa imbangi apa yang kerajaan negeri buat,” katanya menerusi Facebook.

Pada Sabtu, BN mencatatkan prestasi pilihan raya terburuk di Sabah dalam tempoh beberapa dekad ini apabila hanya menang enam daripada 45 kerusi yang ditandinginya.

Akmal berkata demikian susulan tindakan BN mengemukakan senarai nama kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk dipertimbangkan sebagai menteri dan pembantu menteri di negeri itu.

Pengerusi BN Zahid Hamidi awal hari ini berkata, parti-parti yang menyokong GRS telah diminta mengemukakan senarai calon untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, parti komponen BN serasi dengan parti-parti GRS, dan menegaskan kelancaran pembentukan kerajaan negeri baharu amat penting bagi menjamin kestabilan politik.

Bagaimanapun, Akmal berkata, BN harus ‘terima kekalahan secara bermaruah dan perbaiki kelemahan kita’.

“Baru rakyat boleh yakin dan kita kembali di hati rakyat,” tambahnya.

“Dengar suara rakyat, insyaAllah rakyat kembali percaya pada kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.