
Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno berkata, beliau bertemu Muhyiddin di London semalam dan berbincang selama hampir tiga jam mengenai perkembangan politik semasa melibatkan PN.
Menurut Annuar, dalam pertemuan itu, Muhyiddin berkali-kali menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan pengerusi PN ‘jika PAS mahu pimpin’ gabungan itu.
“Malah beliau beri bayangan (peletakan jawatannya) boleh berkuat kuasa 1 Jan ini.” katanya dalam hantaran di Facebook.
“Tidak benar, pada fahaman saya, dakwaan (Muhyiddin) melepaskan jawatan kerana isu di Perlis, sebab hal ini sudah lama beliau sebut secara konsisten berkali-kali, ‘jika PAS mahu, beliau bersedia berikan (jawatan pengerusi PN).
“Tindakan ‘stepping aside’ secara sukarela dan membuka laluan ‘penggiliran nakhoda’ adalah satu tindakan bersifat ‘statesman’ yang terpuji.”
Beliau menambah, pertemuan dengan bekas perdana menteri itu dibuat atas dasar persahabatan, dan perkara tersebut telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada beberapa pemimpin PAS.
Annuar turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin atas kepimpinannya sejak penubuhan PN pada 2020, menyifatkan penggantinya akan berdepan tugas mencabar untuk menyelesaikan ‘terlalu banyak isu dan masalah’ dalam gabungan itu.
“Cabaran baru bermula,” katanya.
Awal hari ini, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan, susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini menuduh Bersatu lemah dan mengkhianati rakan sekutu kerana gagal mengambil tindakan terhadap lima Adun yang menarik balik sokongan terhadap bekas menteri besar Shukri Ramli.
Rentetan itu, tiga Adun PAS yang turut menarik sokongan telah dipecat keahlian parti dan digugurkan jawatan wakil rakyat.
Shukri kemudian digantikan oleh Adun Bersatu Abu Bakar Hamzah, manakala PAS memutuskan untuk tidak menyertai barisan Exco kerajaan negeri.