
Pengerusi Muhyiddin Yassin menjelaskan perbincangan itu perlu dibuat memandangkan PN menang satu kerusi menerusi calon PAS.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita sama ada PN akan sokong pentadbiran Hajiji selepas PN menang satu kerusi di Sabah.
“Kena tanya wakil PAS bagaimana hala tuju ini. Bukan hak saya nak maklum nak sertai atau tidak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri konvensyen Urimai di Ideal Convention Centre.
Pertandingan 11 penjuru di Karambunai menyaksikan Aliakbar Gulasan yang bertanding atas tiket PN meraih 7,054 undi, mengatasi Warisan (6,689), Gabungan Rakyat Sabah (4,818), dan Barisan Nasional (4,475), lalu menang dengan majoriti 365 undi.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata sentimen parti tempatan tidak memberi pengaruh besar pada pola pengundian keseluruhan, susulan kemenangan Aliakbar.
Aliakbar adalah naib pengerusi PN Sabah. Seorang lagi calon PN, Ronald Kiandee dari Bersatu yang juga pengerusi PN Sabah, tewas di Sugut.