Rafizi selar PAS ‘hipokrit’ isu tulisan Cina pada batu asas

Rafizi selar PAS ‘hipokrit’ isu tulisan Cina pada batu asas

Bekas menteri ekonomi berkata, tindakan PAS pertahan isu itu 'modus operandi' lama parti itu.

Haim Hilman Abdullah
Exco Kedah Haim Hilman Abdullah (dua dari kiri) sertai upacara peletakan batu asas projek Kedah Rubber City baru-baru ini, yang turut memaparkan tulisan Cina. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli menuduh PAS hipokrit selepas parti itu mempertahankan penggunaan tulisan dalam bahasa Cina pada batu asas sebuah projek di Kedah.

Menuduh parti Islam itu mengamalkan sikap berat sebelah, Ahli Parlimen PKR Pandan itu berkata, tindakan kerajaan Kedah mempertahankan isu tulisan itu membuktikan ‘modus operandi’ parti itu yang sudah lama diamalkan, iaitu ‘Kami buat boleh, orang lain buat tak boleh’.

“Bila di halaman sendiri, mereka cipta seribu dalil. Bila di tempat lain, mereka jadi pahlawan bahasa,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Rafizi kemudian merujuk hantaran Facebook Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada Februari yang mempersoalkan keperluan papan tanda tiga bahasa di sebuah pasar awam baharu di Ayer Tawar, Perak.

Pada 20 Nov lepas, Exco Kedah Haim Hilman Abdullah mempertahankan penggunaan tulisan Cina pada batu asas projek Kedah Rubber City, mendakwa pengkritik sengaja mempolitikkan isu tersebut.

Haim menjelaskan, batu asas itu, yang mana beliau turut serta meletakkannya, turut mengandungi tulisan bahasa Melayu.

Hari ini, Rafizi berkata, kewujudan projek Kedah Rubber City menyangkal dakwaan bahawa kerajaan persekutuan mengabaikan negeri yang ditadbir pembangkang.

Bekas menteri ekonomi itu berkata, projek tersebut diuruskan oleh Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi.

Projek itu juga melibatkan pelaburan bernilai lebih RM2 bilion.

“Dari awal, projek yang mereka berdiri di depannya untuk ambil gambar ini, adalah hasil usaha, perancangan, dan pembiayaan kerajaan persekutuan,” katanya merujuk Haim.

“Inilah ironi yang terbesar. Mereka yang menuduh kerajaan persekutuan ‘menganaktirikan’ Kedah, adalah pihak yang paling pantas mencanangkan kejayaan projek yang sebenarnya dibawa dan dibiayai oleh kerajaan persekutuan itu.”

Rafizi berkata, naratif bahawa kerajaan persekutuan mengabaikan negeri pimpinan PAS itu dijaja semata-mata untuk menutup kegagalan dan kelemahan pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.