Kementerian Pertahanan paling banyak disiasat JKS dengan 26 kes, kata menteri

Kementerian Pertahanan paling banyak disiasat JKS dengan 26 kes, kata menteri

Abdul Latiff Ahmad, berkata kementerian itu mempunyai 26 kes perolehan, tadbir urus dan kewangan yang disiasat di bawah JKS.

Sejak penubuhannya, JKS telah mengenalpasti 39 kes perolehan, tadbir urus dan kewangan kerajaan untuk disiasat, menurut Abdul Latiff Ahmad.
PETALING JAYA:
Sebanyak 26 kes perolehan, tadbir urus dan kewangan membabitkan Kementerian Pertahanan disiasat di bawah Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKS) sejak ia ditubuhkan pada Mei 2018, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad.

Dalam jawapan di laman sesawang Parlimen, Latiff berkata tujuh kementerian lagi yang disiasat adalah Kementerian Pendidikan dengan empat siasatan; Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan (2 siasatan); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Alam Sekitar Dan Air, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Kementerian Sumber Manusia masing-masing satu siasatan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tempoh pelantikan bagi jawatankuasa itu telah berakhir dan khidmat mereka tidak disambung semula.

“Sejak penubuhannya, JKS telah mengenalpasti 39 kes perolehan, tadbir urus dan kewangan kerajaan untuk disiasat. Siasatan berkaitan melibatkan lapan kementerian secara keseluruhan,” katanya menjawab pertanyaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena).

Naib Presiden Amanah itu meminta kerajaan menyatakan status JKS yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan jumlah laporan siasatan antara 2018 hingga 2021.

Penubuhan JKS bertujuan melaksanakan siasatan terhadap perolehan yang mencurigakan dan mengenalpasti sekiranya ada tadbir urus yang lemah dan tidak telus dan berlakunya penyelewengan, salahguna kuasa atau pembaziran kewangan negara.

Seterusnya JKS akan memberikan cadangan penambahbaikan terhadap tadbir urus perolehan dan kewangan kerajaan dengan menangani isu ketirisan di samping memastikan nilai pulangan faedah yang terbaik dalam perolehan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.