
Pengarah S Jegan, berkata serbuan dilakukan kira-kira 10 malam tadi hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, sekali gus membawa penahanan dua lelaki tempatan berusia 30-an, dipercayai pekerja sindiket berkenaan.
“Pemeriksaan dalam stor itu menemukan 5,092kg minyak masak peket satu kilogram, iaitu minyak subsidi,1,500kg minyak masak dalam tong ‘jerry can’ berkapasiti 17 kg setiap satu, dan 50 unit kotak kosong minyak paket satu kilogram serta dua tong kosong besar yang digunakan untuk menyimpan minyak masak yang dipindahkan daripada bungkusan asal.
“Turut ditemukan peralatan pemindahan, iaitu corong minyak masak, gunting untuk memotong plastik minyak dan 200 unit tong ‘jerry can’ yang disyaki digunakan sebagai tadahan minyak masak serta merampas beberapa dokumen berkaitan dengan kesemua rampasan bernilai RM48,965,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN di Bukit Minyak, Bukit Mertajam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati stor tersebut dijadikan lokasi pemindahan minyak masak bersubsidi sejak dua bulan lalu, dengan sindiket itu menjalankan kegiatan secara berpindah-randah termasuk menggunakan rumah sewa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Jegan berkata, modus operandi sindiket berkenaan dengan mendapatkan bekalan daripada beberapa pemborong dan peruncit sebelum memindahkannya ke dalam tong besar dan seterusnya diisi ke dalam tong ‘jerry can’ bagi mengubah bentuk asal, khususnya bagi bekalan rangkaian restoran.
Siasatan mendapati sindiket itu menyeleweng hingga enam tan minyak masak bersubsidi setiap minggu atau 24 tan sebulan, dengan keuntungan antara RM50 hingga RM70 bagi setiap tong yang dijual kepada restoran.
Beliau berkata beberapa serbuan sebelum ini termasuk yang dilakukan hari ini, didapati mempunyai kaitan dengan dalang utama dipercayai individu yang sama, dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Jegan berkata pemeriksaan lanjut mendapati stor itu tidak memiliki sebarang lesen atau permit sah untuk menyimpan serta mengendalikan barang kawalan berjadual, dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.