Jamal gesa SPRM dedah atau buka semula siasatan kes babit Teresa

Jamal gesa SPRM dedah atau buka semula siasatan kes babit Teresa

Ketua Umno Sungai Besar berkata sehingga kini tiada maklum balas lanjut diberikan kepadanya sebagai pengadu asal.

Jamal Md Yunos
Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos dalam sidang media di depan ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan status siasatan atau membuka semula kes penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) membabitkan Teresa Kok yang dilaporkannya pada 2017.

Beliau mendakwa, kes membabitkan Ahli Parlimen Seputeh yang melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat, seolah-olah ‘disenyapkan’ selepas berlaku pertukaran kerajaan pada PRU 2018.

Katanya, aduan asal dibuat pada 16 Feb 2017 membawa kepada tindakan awal SPRM, termasuk serbuan dan penggeledahan di pejabat Kok namun sehingga kini tiada maklum balas lanjut diberikan kepadanya sebagai pengadu kes itu.

“Saya sebagai pengadu tidak mendapat pengetahuan lanjut tentang tindakan SPRM. Akibatnya, saya telah dikenakan saman fitnah oleh Kok dan kalah dalam kes sivil tersebut,” katanya dalam sidang media di depan ibu pejabat SPRM.

Jamal berkata, beliau terpaksa membayar ganti rugi melebihi RM300,000 kerana kegagalan mendapatkan dokumen bukti siasatan yang diklasifikasikan sebagai dokumen terhad oleh kerajaan Selangor.

Katanya, dokumen asal berkaitan dakwaan penyelewengan itu akan diserahkan kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.

“Saya berharap SPRM tidak tertekan dengan pengaruh politik dan tidak pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan aset Jamal berjumlah lebih RM66,000 disita susulan kegagalan melunaskan kos kepada Kok, sebelum beliau mengumumkan hasrat melelong sebelah seliparnya bagi tujuan itu.

Pertikaian antara kedua-dua pihak berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan menyaksikan beberapa prosiding mahkamah, termasuk perintah pembayaran kos yang menjadi punca kepada tindakan penyitaan tersebut.

Kok memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung dana Yawas dalam sidang media 8 Mac tahun sama, yang disebarkan menerusi media cetak dan elektronik, termasuk laman Facebook Jamal.

Katanya, kenyataan Jamal memberikan gambaran beliau tidak beretika dan menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi.

Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Kok.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada pemimpin DAP itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.