
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata pendedahan itu bukan sesuatu yang wajar dibanggakan, sebaliknya menunjukkan wujud masalah serius dalam sistem pentadbiran negara.
Katanya, Malaysia sebenarnya memiliki segala kelebihan untuk membangun lebih pantas serta sumber alam yang melimpah seperti minyak dan hutan, selain kedudukan geografi bebas daripada bencana besar.
“Tapi, pembangunan kita amat lambat berbanding negara di Asia, apatah lagi tempat lain. Akhirnya terbongkarlah (rasuah) satu demi satu.
“Sekarang, bagaimana kita rasa hibalah. Dalam jabatan-jabatan tertentu, orang paling ‘top’ ditahan SPRM. Ini yang kita jangka tindakan (penguatkuasaan) itu begitu hebat,” katanya ketika berucap pada persidangan PAC.
Kes terbaru membabitkan pegawai atasan kerajaan menyaksikan 23 individu ditahan, termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan Angkatan Tentera (ATM) bagi membantu siasatan.
Penahanan itu berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam, dengan ada antara mereka sudah didakwa di mahkamah.
Sementara itu, Johari menegaskan banyak salah laku hanya dapat dikesan hasil siasatan berterusan PAC, termasuk lawatan tapak berkait pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dan penelitian mendalam terhadap isu kewangan lain.
“Tanpa PAC, benda itu tak akan terduga. Oleh kerana ada PAC, akhirnya kita jumpa dengan masalah yang ada berapa orang yang melakukan kesalahan,” katanya.